LIU Ying (kanan) dan Peng Soon akan beraksi di Terbuka Switzerland. FOTO Bernama
LIU Ying (kanan) dan Peng Soon akan beraksi di Terbuka Switzerland. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying tekad untuk memburu kejuaraan di kejohanan badminton Terbuka Switzerland yang akan berlangsung pada 2 hingga 7 Mac di Basel, Switzerland.

Menurut Liu Ying, kemenangan di kejohanan terbuka itu sangat penting dalam usaha mereka meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.

"Kami bersiap sedia untuk Terbuka Switzerland bulan depan. Kami harap dapat lakukan yang terbaik untuk memenangi kejohanan itu dan meraih mata ke Sukan Olimpik," katanya.

Liu Ying dan gandingannya, Chan Peng Soon diletakkan sebagai pilihan utama bakal berdepan pasangan Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Benyapa Aimsard pada pusingan pertama.

Pada kejohanan Terbuka Thailand Toyota, Peng Soon-Liu Ying tersingkir pada perlawanan suku akhir selepas tunduk kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa 21-18, 22-24, 20-22.

Pasangan di ranking ke-13 dunia sebelum itu terkandas di suku akhir Terbuka Thailand Yonex selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 18-21, 17-21.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro itu 'rujuk kembali' dengan jurulatih mereka Chin Eei Hui pada awal tahun ini, selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan jurulatih berkenaan Disember tahun lalu.

Sementara itu, Liu Ying mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan terhadap latihannya namun bersyukur apabila latihan di gelanggang kembali dibenarkan.

"Bagaimanapun, beberapa corak latihan perlu diubah disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19," katanya yang banyak melakukan latihan kekuatan ketika aktiviti di luar tidak dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 1:19 PM