RASHID (kiri) dan Soon Kit dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. FOTO NSTP
RASHID (kiri) dan Soon Kit dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara yang membawa Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 dan juga meraih pingat di temasya Olimpik, Datuk Rashid Sidek serta Datuk Cheah Soon Kit antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.

Rashid dan Soon Kit antara 81 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media hari ini.

Bagaimanapun, tarikh Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 sedang ditentukan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 dan akan dimaklumkan kepada penerima kelak.

"Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 adalah bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

"Ia diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan dan mengurniakan kepada mereka yang berjasa kepada Wilayah Persekutuan dan negara secara amnya," kata Annuar.

Rashid pernah meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Soon Kit pula membawa pulang perak ketika bergandingan bersama Yap Kim Hock dalam acara beregu lelaki di temasya yang sama.

Turut meraih PMW ialah Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 12:08 PM