CHOONG Hann berkata BAM akan terus memantau prestasi pemain senior dan muda sebelum membariskan mereka yang layak ke kejohanan selepas ini. FOTO OWEE AH CHUN
CHOONG Hann berkata BAM akan terus memantau prestasi pemain senior dan muda sebelum membariskan mereka yang layak ke kejohanan selepas ini. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi membanggakan pemain remaja kebangsaan yang beraksi di 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, baru-baru ini jelas sekali menggembirakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mempunyai banyak pilihan untuk dibawa ke Super 1000 di Bangkok, Thailand pada Januari 2021.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, kebanyakan pemain muda menunjukkan prestasi membanggakan dengan masing-masing cukup matang dalam mempamerkan bakat mereka.

Beliau berkata, BAM akan terus memantau prestasi pemain senior dan muda sebelum membariskan mereka yang layak ke kejohanan terbabit.

"Untuk menjadi pemain yang handal, usia bukan faktor utama, tetapi kerajinan dan kemahuan untuk belajar adalah lebih penting. Sesiapa yang memiliki contoh atau teladan seperti ini perlu dicontohi pemain pemain lain.

"Kita tidak tahu potensinya sehingga kita meletakkan lawan yang lebih kuat. Tiada had untuk perkembangan potensi dan masih banyak yang boleh dipertingkatkan dan salah satunya keadaan fizikal dan kekuatan otot di mana ia memerlukan pelan jangka masa yang panjang," katanya, di sini.

Choong Hann, pemain pemain senior yang kurang menyerlah di pertandingan ini memberi mereka ruang untuk menilai bersama sama dengan barisan kejurulatihan untuk mencari serta menambah baik program latihan sedia ada.

Sebelum itu, BAM mengesahkan akan menyertai dua saingan bertaraf Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 di Bangkok, Thailand pada Januari 2021.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan, badan induk itu bersetuju menghantar pemain negara ke dua kejohanan berkenaan bagi memantapkan persediaan mereka bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada Julai 2021.

Baru-baru ini, BWF mengesahkan Persatuan Badminton Thailand (BAT) akan menganjurkan Kejohanan Yonex Terbuka Thailand pada 12 hingga 17 Januari 2021 dan Kejohanan Toyota Terbuka Thailand dari 19 hingga 24 Januari 2021.

Dua lagi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF yang telah berlangsung adalah Malaysia Masters pada 7 hingga 12 Januari dan All-England dari 11 hingga 15 Mac lepas.

Masing-masing lapan pemain perseorangan dan beregu terbaik dalam ranking Jelajah Dunia BWF, layak beraksi pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF bagi musim 2020 yang bakal diadakan dari 27 hingga 31 Januari tahun depan di Bangkok, yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.235 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 10:59 PM