Lahirkan pemain remaja mampu pikul misi peringkat antarabangsa.
Lahirkan pemain remaja mampu pikul misi peringkat antarabangsa.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menyambut baik misi yang ingin dilaksanakan Datuk Misbun Sidek iaitu melahirkan pemain remaja bukan saja mampu menjulang Piala Thomas, tapi turut merangkul kejuaraan utama sukan badminton.

Menurut Choong Hann, beliau dan Misbun sekarang berada pada landasan dan pemikiran sama iaitu masing-masing mahu melahirkan pemain remaja yang mampu menggalas tugas di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Kami berusaha menjayakan transisi ini dan kalau boleh kita mahukan zero delay cuma sekarang kita sedang cuba untuk membina keupayaan mereka," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ujar Choong Hann, pemain remaja yang sudah berjaya memberikan prestasi terbaik akan terus diserap untuk memikul tanggungjawab seperti yang diberikan kepada pemain senior.

"Kita pilih berdasarkan keupayaan dan sekarang semua sedang bersama melakukan kerja masing-masing sehingga berjaya merealisasikan misi BAM untuk melahirkan pemain terbaik.

"Semua pemain perlu berada pada tahap bersedia. Apabila kita nampak saja kemampuan mereka akan diberikan peluang beraksi pada kejohanan lebih kompetitif," katanya yang juga bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan.

Choong Hann percaya Misbun memang mempunyai keupayaan walaupun sekarang ini legenda badminton negara itu mengakui masih mempunyai jurang dalam kalangan pemain remaja.

"Kita percaya dan yakin dengan Misbun, malah kita dari bahagian senior juga melihat pemain remaja bukan berdasarkan usia malah dari segi keupayaan," katanya.

Wong Choong Hann.
Wong Choong Hann.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:01 AM