MBAPPE berkongsi dengan peminat fotonya bersama Ronaldo. FOTO Agensi
MBAPPE berkongsi dengan peminat fotonya bersama Ronaldo. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Kylian Mbappe jelas teruja dan gembira apabila bertemu idolanya, Cristiano Ronaldo ketika Perancis menentang Portugal dalam aksi Liga Negara-Negara.

Walaupun kedua-dua pasukan terikat 0-0, detik menyentuh perasaan di antara kedua-dua bintang hebat itu paling mencuri tumpuan di atas padang.

Mbappe dan Ronaldo sempat berbual, tersenyum dan bergurau sesama mereka sebelum superstar Juventus itu menunjukkan isyarat bagus kepada penyerang muda Perancis itu.

Penyokong yang menyaksikan perlawanan itu teruja melihat gelagat spontan di antara dua penyerang berkelas dunia itu.

Ramai yang berharap Mbappe, 21, menjadi perintis generasinya untuk menjadi sehebat Ronaldo yang berusia 35 tahun.

Selepas tamat perlawanan, penyerang Paris Saint-Germain itu memuat naik fotonya di Twitter bersama Ronaldo di atas padang dengan kapsyen: 'Idola'

Mbappe yang meminati Ronaldo ketika zaman remaja kali pertama bertemu idolanya beberapa tahun lalu ketika bintang Juventus itu beraksi bersama Real Madrid.

Pada 2017, pemain Perancis itu berkata kepada Marca: "Dia adalah wira sejak saya kecil dan sangat gembira apabila dapat berjumpa dia ketika saya mengunjungi Valdebebas."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 10:37 PM