MICK akui keluarganya akan terima dengan hati terbuka jika rekod bapanya dipecahkan. FOTO Agensi
MICK akui keluarganya akan terima dengan hati terbuka jika rekod bapanya dipecahkan. FOTO Agensi
AFP

Sochi: Anak Michael Schumacher, Mick berkata bapa dan keluarganya menerima dengan hati terbuka jika Lewis Hamilton berjaya menyamai rekod meraih 91 kemenangan Grand Prix (GP) menjelang perlumbaan di Russia esok.

Pelumba muda dari Jerman itu yang mendahului saingan Formula Dua (F2) tahun ini dan berada di landasan terbaik untuk beraksi di Formula Satu (F1) tahun depan berkata, bapanya sentiasa memberitahu bahawa rekod adalah untuk dipecahkan.

"Lewis berada pada kedudukan terbaik dan mencatat kemenangan secara berturut-turut, ia sangat positif. Bapa saya sentiasa memberitahu bahawa rekod yang sudah tercipta adalah bertujuan untuk dipecahkan. Jadi saya rasa semua orang memburunya," kata Mick.

Ujarnya, dia juga berasa teruja untuk beraksi dalam sukan berkenaan disebabkan oleh rekod yang dicipta bapanya.

"Selepas ini saya pula akan cuba untuk memecahkan rekod. Saya rasa jika saya berpeluang untuk mencuba dan memecahkannya suatu hari nanti," katanya.

Schumacher bersara dari perlumbaan F1 selepas tiga tahun bersama Mercedes dari 2010 hingga 2012.

Dia sebelum itu sudah bersara selepas mencatat kejayaan gemilang dengan meraih lima kejuaraan dunia bersama Ferrari dan dua lagi ketika mewakili Benetton.

Pada Disember 2013 dia mengalami kecederaan di bahagian otak selepas terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski bersama Mick di pergunungan Alps.

Selepas itu dia berada dalam keadaan koma di Grenoble sehingga Jun 2014, sebelum mendapat rawatan secara peribadi di kediamannya di Switzerland.

Mick mengakui dia beberapa kali pernah bertemu dengan Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:37 PM