NAOMI puas dapat membenam Shelby untuk mara ke separuh akhir Terbuka AS. FOTO AFP
NAOMI puas dapat membenam Shelby untuk mara ke separuh akhir Terbuka AS. FOTO AFP
AFP

PEMAIN Jepun, Naomi Osaka mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), manakala Alexander Zverev dari Jerman juga mengikut jejak langkah sama bagi saingan lelaki.

Naomi yang diletakkan sebagai pilihan keempat, berjaya mengetepikan pemain bukan pilihan, Shelby Rogers dengan keputusan straight set sekali gus bakal berdepan Jennifer Brady bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.

Pemain berusia 22 tahun itu memerlukan satu jam 20 minit di Stadium Arthur Ashe untuk menumbangkan lawannya berusia 27 tahun 6-3, 6-4.

Naomi, yang menduduki ranking kesembilan dunia berkata, kemenangan itu menebus tiga kekalahan sebelum ini kepada pemain ranking ke-93 dunia itu.

"Secara jujurnya, dia memiliki kelebihan kerana saya tidak pernah mengalahkannya. Semua kenangan itu bermain di fikiran saya, jadi saya anggap kemenangan ini sebagai balas dendam," kata Naomi.

Jennifer pula berjaya menghilang gementar untuk mengalahkan wakil Kazakhstan, Yulia Putintseva dan mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali pertama.

Pemain AS pilihan ke-28 itu memerlukan satu jam sembilan minit untuk mencatat kemenangan straight set 6-3, 6-2.

Sementara itu, Zverev bangkit dari tumpas mengejut di set pertama untuk mengetepikan pilihan ke-27 dari Croatia, Borna Coric.

Pemain Jerman berusia 23 tahun itu mengambil masa tiga jam 25 minit untuk mencatat kemenangan 1-6, 7-6 (7/5), 7-6 (7/1), 6-3.

Dia mula bermain agresif selepas tumpas di set pertama dan ketinggalan 2-4 di set kedua.

"Saya mula berfikir bahawa saya sudah ketinggalan 1-6, 2-4, jadi saya tidak ada apa yang perlu difikirkan lagi," kata Zverev.

Dia akan berdepan pemain Sepanyol pilihan ke-20, Pablo Carreno Busta bagi mencari tempat ke perlawanan akhir.

Busta berjaya mengalahkan pilihan ke-12 dari Kanada Denis Shapovalov 3-6, 7-6 (7/5), 7-6 (7/4), 0-6, 6-3 dalam aksi epik lima set.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 3:02 PM