STUART Ramalingam. FOTO Bernama
STUART Ramalingam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


EMPAT pasukan disahkan gagal melengkapkan proses dokumentasi bagi meraih pelesenan kelab selepas tarikh akhir tamat pada 30 Ogos lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, empat pasukan terbabit adalah dua daripada Liga Super manakala dua lagi Liga Perdana.

Jelasnya, empat pasukan itu secara dasarnya hanya gagal mengemukakan dokumen berkaitan kewangan.

''Semua sudah hantar (dokumen), cuma ada empat pasukan yang belum lengkap. Tapi kami memahami masalah dihadapi kerana dokumen (kewangan) membabitkan pihak ketiga.

''Tarikh akhir (hantar dokumen pelesenan) sudah berakhir dan tiada tempoh lanjutan diberikan. Tetapi 15 September adalah tarikh akhir untuk dokumentasi kewangan.

''Jadi keputusan secara menyeluruh akan dibuat oleh First Instance Body (FIB) Perlesenan Kelab FAM. Kalau ada pasukan yang hantar lewat, keputusan akan dibuat FIB selaku jawatankuasa bebas,''katanya semalam.

Sebelum ini, FAM menetapkan 30 Ogos sebagai tarikh akhir untuk semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) melengkapkan proses pelesenan bagi meraih lesen untuk bertanding musim depan.

Selain dokumentasi pelesenan, semua pasukan turut diwajibkan melakukan proses penswastaan atau pertukaran status dari persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) yang akan berakhir pada 30 September ini.

Mana-mana pasukan Liga M yang gagal mendapatkan lesen akan diturunkan ke Liga M3 atau lebih tepat saingan amatur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 11:40 PM