LIGUE 1 bagi musim depan akan bermula 22 Ogos ini hingga 23 Mei 2021. FOTO Agensi
LIGUE 1 bagi musim depan akan bermula 22 Ogos ini hingga 23 Mei 2021. FOTO Agensi
AFP

BADAN induk bola sepak Perancis mengesahkan dua tarikh perlawanan akhir piala musim ini dan sepak mula untuk musim baru Ogos depan.

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) semalam juga menerima keputusan Liga Bolasepak Perancis (LFP) untuk mengekalkan 20 pasukan bersaing di Ligue 1 musim depan.

Sebelum ini pasukan yang tersingkir atau dinafikan ke saingan utama, selepas aksi musim ini ditamatkan awal berharap saingan Ligue 1 ditambah kepada 22 pasukan.

Keputusan FFF membolehkan LFP untuk mengeluarkan kalendar musim 2020/21 sehari kemudian.

"Perlawanan akhir Piala Perancis akan diadakan pada 24 Julai dan final Piala Liga pada 31 Julai," kata Presiden FFF, Noel Le Graet.

Piala Perancis bakal menyaksikan Paris Saint Germain (PSG) berdepan Saint Etienne dan ia adalah perlawanan rasmi pertama sejak aksi bola sepak di Perancis ditangguhkan akibat Covid-19.

Juara Ligue 1, PSG turut akan beraksi di Piala Liga seminggu kemudian dengan menentang Lyon.

Selepas liga musim ini bermula pada 9 Ogos, LFP mengumumkan saingan musim depan akan bermula pada 22 Ogos ini dan berakhir 23 Mei 2021.

Ia bakal menyaksikan PSG dan Lyon hanya mempunyai rehat tiga minggu tatkala kedua-duanya perlu meneruskan perjuangan dalam Liga Juara-Juara.

Lyon masih lagi perlu berdepan saingan 16 terakhir menentang Juventus dan jika berjaya melepasi pusingan berkenaan mereka akan menyertai PSG di Lisbon bagi peringkat suku akhir yang bermula dari 12 hingga 20 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 10:58 AM