Pemain squash negara, Aifa Azman beraksi di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia. FOTO File NSTP
Pemain squash negara, Aifa Azman beraksi di Kejohanan Skuasy Remaja Dunia. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


PENULARAN wabak Covid-19 memberi kesan besar buat persatuan sukan Malaysia yang hilang sumber pendapatan utama selepas terpaksa membatalkan penganjuran kejohanan.

Antara paling terkesan dengan pandemik itu adalah Persatuan Raket Skuasy Malaysia (Sram) yang terpaksa membatalkan dua kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan Berpasukan Asia lelaki dan wanita yang sepatutnya berlangsung April lalu, Kejohanan Wanita Dunia pada Disember ini.

Selain beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia, Terbuka Remaja, Terbuka Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menyebabkan punca pendapatan badan induk itu terjejas teruk.

Presidennya, Nik Razeen A Daud berkata, beliau amat berterima kasih di atas usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperuntukkan dana berjumlah RM10 juta kepada persatuan sukan kebangsaan, menerusi Inisiatif Prihatin Sukan 2020 bagi membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19.

Persatuan yang kini dalam proses menghantar permohonan amat berharap, KBS akan menimbangkan permohonan mereka yang kini bergelut untuk menganjurkan aktiviti kerana kekangan kewangan.

"Sram bukan seperti badminton atau bola yang mempunyai penaja besar. Bagaimanapun kami tetap berusaha untuk dapatkan tajaan daripada saluran yang lain.

"Terima kasih kepada menteri yang menghulurkan bantuan untuk kelangsungan persatuan sukan di negara ini," katanya yang turut mendapat bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membayar gaji pekerja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amrul Hazarin Hamidon turut senada dengan Sram yang memanjatkan rasa syukur di atas dana berkenaan.

KRM menyambut baik usaha kerajaan dan menaruh harapan yang tinggi untuk KBS mempertimbangkan permohonan yang dihantar agar dapat bersama-sama berkongsi manfaat dalam usaha untuk menjayakan misi 2026, layak ke Sukan Asia.

Untuk makluman di bawah inisiatif itu, peruntukan akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, RM2 juta sebagai bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar di bawah Persuruhjaya Sukan (PPS) keduanya, bantuan menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan (RM5 juta); dan ketiganya, bantuan bagi program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan (RM3 juta).

Persatuan sukan kebangsaan boleh membuat permohonan dalam talian melalui pautan laman web rasmi KBS http://www.kbs.gov.my/inisiatifprihatinsukan2020.html.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 6:38 PM