SKUAD Harimau Malaya layan kunjungan Vietnam di Bukit Jalil pada 13 Oktober. FOTO FB FAM
SKUAD Harimau Malaya layan kunjungan Vietnam di Bukit Jalil pada 13 Oktober. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


PENAMBAHAN seorang tonggak naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya, Liridon Krasniqi serta calon warisan yang sedang dalam permohonan, Marcel Kalonda nyata mencemaskan kem pasukan Vietnam ketika ini.

Menurut laporan media negara terbabit, skuad Naga Emas kendalian Park Hang-seo itu jelas bimbang dengan kekuatan anak buah Tan Cheng Hoe menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF), Le Hoai Anh berkata, berdasarkan maklumat diperolehi mengenai skuad Harimau Malaya, pasukan Vietnam perlu berhati-hati terutama dengan kehadiran pemain naturalisasi.

Untuk itu, Vietnam juga dijangka menambah kekuatan dengan memburu beberapa pemain warisan untuk menyertai kem pasukan kebangsaan.

"Bertindak dari beberapa maklumat diperolehi mengenai skuad Malaysia, VFF merancang menambah kekuatan pasukan menggunakan pemain naturalisasi atau kacukan bagi mengimbangi kekuatan Malaysia," katanya.

Sebelum ini, VFF dilaporkan sedang berusaha membawa pemain masuk pemain kacukan Vietnam-Republik Czech yang beraksi di posisi penjaga gol.

Difahamkan proses dokumentasi sedang diuruskan dan dijangka ia dapat diselesaikan sebelum perlawanan bertemu Malaysia.

Menerusi pendedahan demi pendedahan dilaporkan media Malaysia terutamanya Arena Metro menyaksikan Vietnam jelas tidak senang duduk apabila ramai pemain warisan menyatakan hasrat untuk mengetuk pintu skuad Harimau Malaya.

Selain Kalonda yang beraksi di Liga Zambia sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi, beberapa pemain seperti Harry Edge dan Samuel Bone turut berada dalam senarai menunggu.

Ketika ini, sekurang-kurangnya empat pemain warisan dan naturalisasi sudah berada dalam skuad iaitu Matthew Davies, Corbin Ong dan Brendan Gan selain Mohamadou Sumareh yang muncul sebagai tonggak naturalisasi pertama Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:03 PM