Lee Zii Jia. FOTO File Agensi
Lee Zii Jia. FOTO File Agensi
Aida Adilah Mat


PEMAIN perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk mengikut semua garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) asalkan dapat turun menjalani latihan seperti biasa.

Berada di dalam program Road To Tokyo (RTT), Zii Jia antara kumpulan pertama atlet yang dibenarkan turun menjalani latihan lebih awal iaitu bermula 1 Jun hingga 30 Jun ini biarpun negara masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tegas Zii Jia yang kini menghuni ranking nombor ke-10 dunia itu, bukan hanya dia seorang malah semua pemain tidak sabar untuk kembali ke gelanggang selepas hanya menghabiskan masa di rumah untuk latihan kecergasan semata-mata selama lebih daripada 70 hari.

"Memang tidak sabar untuk kembali ke gelanggang. Saya pernah tanya BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan jurulatih berulang kali bila kami dapat turun berlatih sebelum ini dan bila dapat kebenaran sudah pastinya saya gembira dan kini lebih positif.

"Motivasi diripun sudah kembali sedikit berbanding sebelum ini bila hanya di duduk di rumah jadi sekarang ini pastinya perasaan itu kembali 'fresh' bila dapat berlatih di gelanggang semula.

"Sebenarnya 'filling' di gelanggang pun sudah banyak hilang dan ia memerlukan masa untuk mendapatkan semula 'filling' itu," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbual dengan Zii Jia selepas pemain itu melaporkan diri menyertai kem latihan pusat RTT. FOTO KBS
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbual dengan Zii Jia selepas pemain itu melaporkan diri menyertai kem latihan pusat RTT. FOTO KBS

Tegas pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina itu, dia berharap semua atlet dan mereka yang terbabit dalam kumpulan pertama program RTT ini akan mengikut arahan yang diberikan agar semua berjalan mengikut apa yang dirancang tanpa ada sebarang masalah yang timbul di kemudian hari.

"Lihat pada SOP yang diberikan memang susah sedikit tapi saya rasa semua pemain profesional dan kami perlu berkorban sedikit untuk dapat berlatih semula.

"Bagi saya tiada masalah untuk ikut semua peraturan asalkan saya boleh turun menjalani latihan semula. Sebagai pemain yang profesional, semua itu terpulang pada diri sendiri," katanya. Seramai lapan atlet normal dan satu atlet paralimpik membabitkan sejumlah 33 orang termasuk jurulatih, rakan sepelatih, anggota sokongan dan perkhidmatan sains dan perubatan sukan akan terbabit pada fasa pertama kem RTT di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 11:46 PM