MUHAMMAD Fadhil (kiri) bersama keluarga.
MUHAMMAD Fadhil (kiri) bersama keluarga.
Aida Adilah Mat


SUASANA berbeza namun bahagia yang dirasai amat bermakna buat atlet berbasikal negara, Muhammad Fadhil Zonis pada Ramadan tahun ini.

Biarpun pandemik Covid-19 yang dialami seluruh dunia itu menjejaskan latihan pemenang dua pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur itu menyebabkan dia tidak dapat kembali ke Melbourne kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada hikmah di sebaliknya.

Dia melihat Covid-19 dan PKP adalah asbab untuk dia bersama keluarga menggembirakan ibunya meraikan Aidilfitri bersama-sama sebelum pulang menjalani rutin harian dengan latihan di Melbourne.

Tambahan pula ini adalah kali pertama, Fadhil yang terkenal dengan karakter rambut kembang itu akan beraya tanpa ayah, Mohd Zonis Mokhtar yang pergi menghadap Ilahi tahun lalu akibat komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

"Biarpun tahun ini kita tak dapat bersolat Tarawih di masjid, tapi dapat buat bersama keluarga itu rasa seronok sangat. Ini semua rahmat kesan daripada Covid-19.

"Tahun lalu, saya sempat pulang awal berpuasa di tanah air kerana minta untuk kembali ke Malaysia menjaga ayah yang sakit.

"Sempat saya beraya bersama ayah buat kali terakhir sebelum dia meninggal dunia dua minggu selepas hari raya dan ia adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan," katanya.

Bergelar seorang atlet bukan sesuatu yang mudah kerana perlu banyak pengorbanan termasuk berjauhan dengan keluarga.

Katanya, lihat saja Azizulhasni Awang yang banyak berkorban semata-mata mahu mengharumkan nama negara dan kini namanya sangat gah di pentas dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 2:00 AM