IBNI Amin mengakui MSNT akan bergerak dan merangka strategi latihan berpandukan garis panduan. FOTO ASWADI ALIAS
IBNI Amin mengakui MSNT akan bergerak dan merangka strategi latihan berpandukan garis panduan. FOTO ASWADI ALIAS
Malik Muhamad

MAJLIS Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tetap mengambil berat soal keselamatan dan kesihatan atletnya termasuk atlet Sukan Malaysia (Sukma) biarpun kerajaan memberi kelonggaran dalam sukan yang tidak membabitkan perhimpunan dan sentuhan badan.

Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata, walaupun sudah ada kelonggaran dalam sukan tertentu, namun MSNT tetap tidak mengambil mudah berkaitan keselamatan dan kesihatan atlet negeri.

"Kita menghormati arahan kerajaan mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani wabak virus Covid-19 ini yang sangat berbahaya kerana sudah mengorbankan banyak jiwa di seluruh dunia.

"Kerajaan kita terbukti dapat membendung wabak dan krisis ini dengan baik dan diiktiraf antara yang terbaik di dunia, jadi kita harus yakin dan perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan.

"Kita mendapat garis panduan bersukan yang berbeza antara kumpulan sukan dengan kumpulan sukan lain yang bertujuan tidak lain adalah untuk keselamatan dan membendung wabak virus yang luar biasa ini.

"Namun begitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) belum lagi mengeluarkan secara terperinci garis panduan berkenaan, tapi kita percaya mereka akan keluarkan dalam masa terdekat.

"Bagi memastikan atlet kita selamat, kita akan bergerak dan merangka strategi latihan berpandukan garis panduan itu nanti manakala sukan yang dibenarkan kita akan menjalani latihan seperti biasa tapi dalam kawalan penjarakan sosial dan kawalan kesihatan.

"Sukan-sukan yang membabitkan sentuhan pula strategi latihannya berbeza, malah sekarang pun mereka tetap berlatih untuk mengekalkan tahap kecergasan masing-masing termasuk pada bulan puasa.

"Kita juga sudah bermesyuarat dengan jurulatih bagi semua sukan yang terlibat melalui sidang video dan akan meneruskan lagi mesyuarat ini bagi merangka kaedah dan strategi yang terbaik bagi mengekalkan prestasi atlet.

"Mengenai persiapan atlet Sukma, semua negeri mengalami masalah dan kekangan yang sama begitu juga Terengganu, jadi persiapan masing-masing juga pastinya sama, tapi kita sedang berusaha untuk memastikan kita berada 'one step ahead' daripada negeri lain," ujarnya.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memberi kelonggaran aktiviti sukan yang tidak melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan seperti badminton, tenis, golf dan kayuhan basikal tetapi perlu mematuhi SOP yang digariskan termasuk tidak melebihi 10 orang, mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan kerana ianya boleh mendorong penularan wabak pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 3:56 PM