Aksi pemain Sepanyol, Rafael Nadal. FOTO File Agensi
Aksi pemain Sepanyol, Rafael Nadal. FOTO File Agensi
AFP

RAFAEL Nadal berkata dia meragui mengenai aksi sirkit tenis profesional dapat disambung semula selepas ia terhenti berikutan pandemik Covid-19.

"Pada pandangan saya, saya sangat meragui bahawa sirkit berkenaan akan kembali meneruskan aktiviti seperti biasa," kata pemain nombor dua dunia dalam sesi perbualan maya dianjurkan oleh Persekutuan Tenis Sepanyol (RFET) membabitkan pasukan memenangi Piala Davis, tahun lalu.

"Dalam tenis, anda perlu melakukan perjalanan setiap minggu, tinggal di hotel, pergi ke negara berbeza," kata Nadal.

"Sekalipun kami beraksi tanpa penonton, untuk menganjurkan acara anda memerlukan pembabitan ramai orang, yang tidak dapat dinafikan. Di peringkat antarabangsa ia adalah masalah yang cukup serius."

Nadal berkata dia berharap sekatan dapat dikurangkan berperingkat-peringkat, tapi menambah dia sedar situasi kesihatan dunia sangat serius.

"Kita menempuhi bulan yang sangat sukar dengan sebahagiannya mengalami banyak kerugian yang tidak dapat diperbaiki dan penderitaan kepada sebahagian besar masyarakat sehingga menjejaskan ekonomi selain berharap ia hanya akan membabitkan beberapa bulan," katanya.

"Ramai yang akan kehilangan kerja. Ini adalah detik menyedihkan apabila anda melihat ramai orang yang mati," katanya.

Nadal sudah memaklumkan radio Sepanyol dia menjangkakan ia agak 'sukar' untuk meraih gelaran utama 'dalam jangka pendek atau tempoh tertentu.'

Nadal bekerjasama dengan rakannya yang juga pemain bola keranjang Sepanyol, Pau Gasol, untuk mengumpul dana bagi memerangi Covid-19.

Bersama-sama pemain tenis terkemuka seperti Roger Federer dan Novak Djokovic, Nadal adalah salah seorang promoter yang akan mewujudkan dana untuk membantu pemain tenis di ranking lebih rendah yang terjejas dari segi kewangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 9:21 AM