NADAL dan Djokovic. -FOTO Agensi
NADAL dan Djokovic. -FOTO Agensi
Agensi

Melbourne: Ketua Terbuka Australia, Craig Tiley yakin Rafael Nadal akan beraksi di Melbourne Park bulan depan biarpun diuji positif Covid-19 namun menegaskan bahawa masih belum pasti sama ada Novak Djokovic akan beraksi atau tidak.

Nadal didapati positif Covid ketika beraksi pada perlawanan pertunjukan di Abu Dhabi minggu lalu dan pemain Sepanyol itu berkata, dia akan membuat keputusan berhubung penyertaannya bergantung kepada pemulihannya beberapa minggu akan datang.

"Saya yakin Rafa akan beraksi," kata Tiley mengenai juara 20 kali Grand Slam itu.

"Pemain yang diuji positif sekarang ini perlu melengkapkan tempoh masa sehingga mereka tidak lagi boleh menjangkiti orang lain dan semua akan baik-baik saja.

"Jika anda diuji positif dan mahu bermain di Terbuka Australia, masanya adalah sekarang.

Nadal berharap dapat beraksi di Australia namun tidak dapat memastikan penyertaan itu selepas dia dan jurulatihnya Carlos Moya diuji positif Covid-19.

"Ideanya adalah untuk pergi ke sana dan mencuba yang terbaik di Australia. Tapi sekarang saya tidak boleh memberi jaminan 100 peratus mengenai penyertaan saya," kata Nadal.

"Saya perlu berbincang dengan pasukan. Ia lebih dari enam bulan sejak perlawanan terakhir. Perkara yang sukar dan saya menerimanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 12:16 PM