Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Aida Adilah Mat


MESYUARAT Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang dilangsungkan secara dalam talian hari ini memutuskan tarikh baru penganjuran temasya itu adalah pada 6 hingga 14 Mac tahun depan.

Manakala Para Sukma Johor akan berlangsung sebulan kepada dari 5 hingga 10 April.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu turut memutuskan untuk mengekalkan nama Sukma 2020 dan Para Sukma 2020 biarpun ia dianjurkan tahun depan.

Beliau menegaskan, keputusan itu sudah dipersetujui oleh semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang terdiri dari wakil dari semua negeri, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Sekretariat Sukma.

"Beberapa pindaan juga sudah dipersetujui antaranya atlet yang didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal sebelum 9 Januari 2020 dibenarkan mengambil bahagian di Sukma Johor walaupun melebihi had umur seperti yang ditetapkan.

"Selain itu, pertukaran atlet untuk senarai panjang boleh dilakukan sehingga 30 Jun ini namun ia hanya membabitkan kes kecederaan (mesti mendapat pengesahan doktor) atau tidak mendapat pelepasan majikan atau Institut Pendidikan (surat pengesahan diperlukan).

"Manakala borang penyertaan yang lengkap dengan nama atlet dan acara dalam senarai pendek hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada Sekretariat Sukma Johor sebelum 31 Disember ini," katanya.

Reezal memaklumkan, bahawa mesyuarat jawatankuasa tertinggi seterusnya akan diadakan pada Oktober ini untuk membincangkan semula tarikh Sukma jika ada sebarang perubahan.

"Saya berharap dengan keputusan ini semua atlet pelapis di negara akan terus melakukan persediaan berdasarkan program latihan yang dibekalkan oleh jurulatih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

"Saya juga memohon agar semua atlet, jurulatih serta pegawai sukan di seluruh negara untuk mematuhi arahan dan panduan tatacara pembersihan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 8:42 PM