Pasukan boling Pahang yang akan bersaing pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
Pasukan boling Pahang yang akan bersaing pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


MAJLIS Sukan Pahang (MSP) menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memutuskan untuk menangguhkan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada tarikh akan ditetapkan semula.

Pengarahnya Zamri Hassan berkata, penangguhan temasya sukan dwitahunan itu penting untuk keselamatan dan kesihatan atlet, petugas, jurulatih dan penonton.

Katanya, tidak bermakna diadakan Sukma namun pada masa yang sama tidak mendapat sambutan dan semua pihak berada dalam keadaan tidak selesa dan ketakutan, pertandingan menjadi hambar.

Katanya, kontinjen Tok Gajah membariskan lebih 600 atlet yang bersaing dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan terbabit yang sebelum ini dijadualkan diadakan 11-19 Julai depan.

"MSP menyokong penuh keputusan KBS yang memutuskan untuk menangguhkan penganjuran Sukma Johor 2020 yang dijangka diadakan pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 berdasarkan beberapa faktor.

"Kita sudah mengarahkan semua atlet Sukma Pahang yang sedang mengikuti latihan pusat supaya balik kampung mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang melanda negara kini," katanya, dihubungi, di sini hari ini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memutuskan penundaan temasya Sukma Johor 2020 berikutan penularan wabak Covid-19.

Mesyuarat berkenaan mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke tahun 2021 berdasarkan beberapa faktor.

Menurut Zamri lagi, MSP sepatutnya menyenaraikan barisan terakhir atlet Sukma Johor 2020 pada 31 Mac ini. Sementara itu, atlet bowling Pahang, Fatin Najihah Azhar berkata sebagai atlet dia menyokong keputusan menangguhkan Sukma Johor 2020 bagi menjamin keselamatan serta kesihatan mereka yang terbabit kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 12:58 PM