Aksi bintang Manchester United, Marcus Rashford (kiri) dalam salah satu perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum saingan ditangguhkan. FOTO Agensi
Aksi bintang Manchester United, Marcus Rashford (kiri) dalam salah satu perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum saingan ditangguhkan. FOTO Agensi
Agensi

MARCUS Rashford percaya ‘tempoh sukar’ di Manchester United ketika di bawah bimbingan Jose Mourinho menjadikannya pemain yang lebih baik.

Penyerang England itu menjadi tonggak utama pasukan pada awal musim 2016-17 sebelum pengurus Portugal itu dipecat pada Disember 2018.

Rashford memenangi Piala Liga dan Liga Europa ketika itu tetapi peluangnya terhad selain perlu bertindak di bahagian sayap manakala Zlatan Ibrahimovic atau Romelu Lukaku diberi peranan di jentera serangan tengah.

Di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, Rashford semakin berkembang apabila meledak 19 gol dalam semua kejohanan musim ini - jumlah jaringan terbaiknya - sebelum dilanda kecederaan berpanjangan di bahagian belakang disusuli penangguhan Liga Perdana Inggeris (EPL) berikutan pandemik Covid-19.

Biarpun tidak kerap memperagakan sentuhan terbaik ketika mendapat tunjuk ajar Mourinho, Rashford yakin ia adalah detik yang akan membuatkannya bertahan dengan baik.

"Ia sukar namun saya fikir apabila anda mengimbas semula usaha lima atau enam tahun, inilah saat-saat yang memberikan anda kekuatan mental," kata Rashford kepada UTD Podcast.

"Sebagai pemain serba boleh, saya telah meningkat dengan baik dan itu semua banyak bergantung ketika saya di bawah kendalian Jose selama dua tahun.

"Kami mengalami pasang surut. Ketika saya mengingatkannya kembali, itu adalah tempoh yang sukar tetapi nyata sekali ia menjadikan saya seorang pemain lebih baik."

Rashford juga memuji impak Ibrahimovic, yang kini kembali ke Milan selepas menikmati karier di Amerika Syarikat bersama LA Galaxy sejurus meninggalkan The Red Devils.

"Mentalnya lebih kuat daripada apa yang pernah saya saksikan ketika beraksi bersamanya," tambahnya.

"Dia tidak peduli apa orang kata kepadanya atau apa yang orang nilaikan mengenainya.

"Dari segi mentalnya, Zlatan adalah kunci kepada perkembangan saya, terutamanya ketika Jose berada di sini memandangkan dia pernah diuruskan oleh pengurus itu jadi adalah penting untuk saya tahu cara tertentu untuk bertahan di bawah kendaliannya."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:18 PM