Mohamad Ishak Kunju Mohamad. FOTO NSTP
Mohamad Ishak Kunju Mohamad. FOTO NSTP
Malik Muhamad


SEKARANG bukan masa sesuai untuk membincangkan isu pemotongan gaji pemain, sebaliknya kebajikan pemain dahulu perlu menjadi keutamaan kerana pendapatan setiap pemain tidak sama selain ada sesetengah pemain masih belum lagi mendapat tunggakan gaji sepenuhnya.

Pandangan itu disuarakan jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad yang kurang bersetuju jika gaji pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) dipotong kerana tidak semua pemain bergaji besar dan mendapat elaun.

Malah dalam masa sama beliau hairan kerana ramai pihak tampil membincangkan soal pemotongan gaji pemain sedangkan liga baharu dua minggu lebih ditangguhkan susulan krisis wabak Covid-19 kecuali berbulan-bulan dihentikan atau dibatalkan.

Bekas pertahanan Terengganu itu berkata, sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu besar untuk dibincangkan biarpun sedar tempiasnya juga kepada pihak persatuan negeri dan kelab termasuk pemain.

Sebaliknya beliau berkata pada waktu genting sebegini ada baiknya pihak tertentu perlu lebih peka dan prihatin dengan nasib sesetengah pemain yang mungkin ada terpaksa ikat perut kerana gaji kecil selain mungkin masih ada lagi gaji mereka tertunggak, keadaan ini sudah tentu tidak wajar pihak tertentu mengambil kesempatan dengan situasi terkini.

"Sebagai contoh jika gaji mereka sekitar RM3,500 sebulan dan tinggal di bandar besar, sudah tentu hanya cukup-cukup untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

"Tapi jika sekiranya gaji mereka pula dipotong antara 20 hingga 30 peratus oleh majikannya, berapa lagi baki yang tinggal bagi mereka untuk menyara kehidupan keluarganya, cukupkah dengan jumlah itu? Perkara ini harus difikirkan bersama demi kelangsungan hidup mereka.

"Lagipun musim ini majoriti gaji pemain tidak begitu besar berbanding musim-musim sebelum ini dan penurunan gaji mereka begitu mendadak, tapi demi periuk nasi mereka terpaksa setuju beraksi dengan mana-mana pasukan.

"Ditambah pula kontrak majoriti pemain hanya setahun dan keadaan ini sudah pasti mereka mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyara keluarga, ini belum dibincangkan lagi tentang nasib mereka pada tahun akan datang kerana kerjaya sukan bola sepak ini tidak menentu, ditambah pula jika mereka cedera ataupun prestasi merosot.

"Bagi saya tidak adil jika nak dibandingkan dengan gaji pemain kelab Juventus atau Barcelona, gaji mereka tinggi bernilai jutaan selain mereka dibayar gaji minggu berbanding kita bulanan.

"Namun saya penuh yakin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta pihak pengurusan negeri dan kelab akan memperhalusi perkara ini dan tidak akan sewenang-wenangnya memotong gaji pemain.

"Selain itu saya percaya badan bola sepak negara dan negeri mampu mencari kaedah terbaik untuk merungkaikan isu ini jika liga ditangguhkan lebih lama dan bukannya bertindak atau mencadangkan gaji pemain dipotong," ujar Ishak yang turut tidak bersetuju jika liga musim ini dibatalkan kerana bimbang mata pencarian pemain terganggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 1:52 PM