RAHADIAZLI tekad tingkatkan prestasinya dalam kancah Liga Malaysia. FOTO Ihsan TFC
RAHADIAZLI tekad tingkatkan prestasinya dalam kancah Liga Malaysia. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


PUJIAN daripada pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic membuatkan penjaga gol muda skuad Penyu, Rahadiazli Rahalim kian bersemangat untuk meningkatkan lagi prestasinya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Baginya pujian daripada pengendali muda dan berpengalaman itu adalah satu pengiktirafan kepadanya memandangkan baharu kali pertama beraksi dalam kancah Liga Super.

Rahadiazli atau lebih mesra disapa Radi yang memilih penjaga gol Manchester United, David de Gea sebagai idolanya mengakui tidak menyangka aksi pertamanya dalam liga utama berjaya menarik perhatian pengendali itu.

Bagaimanapun penjaga gol kelahiran Kampung Telaga Papan, Setiu itu tidak mahu pujian itu membuatkan dirinya besar kepala, sebaliknya mengakui masih lagi berusaha gigih berguru dengan barisan kejurulatihan termasuk jurulatih penjaga gol TFC, Yazid Yassin.

“Setiap pemain sudah pasti mahu memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan, begitu juga dengan saya yang mengharapkan pujian daripada pengendali TFC dan Perak itu mampu mematang dan meningkat lagi prestasi dalam kancah Liga M musim ini. Terima kasih kepada barisan jurulatih yang memberi peluang kepada saya beraksi dalam perlawanan pertama itu.

“Bagaimanapun saya akui masih kurang pengalaman dan perlu banyak lagi belajar dengan jurulatih serta rakan seposisi dalam pasukan yang lebih berpengalaman iaitu Mohd Ilham Amirullah Razali dan Sharmirza Yusof.

“Impian saya musim ini adalah untuk membantu pasukan sekurangnya-kurangnya membawa pulang satu piala sebagaimana ketika menjuarai Piala Belia musim lalu,” katanya yang menyarung jersi skuad Piala Belia Terengganu musim lalu.

Pada aksi pertama Liga Super menentang Perak Sabtu lalu, penjaga gol berketinggian 1.90 meter itu pantas mencuri tumpuan peminat setia TFC dan juga pengendali skuad Penyu serta Perak selepas beraksi cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

Walaupun skuadnya tewas 1-3, namun sumbangan besar pemain yang pernah bersama skuad Bawah 18 Tahun negara kendalian Brad Maloney itu berjaya menghalang pintu golnya daripada ditembusi lebih banyak gol.

“Sudah pasti saya mahu menyarung jersi pasukan kebangsaan satu hari nanti kerana itu impian sejak dibangku sekolah rendah lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:12 PM