PENJAGA gol TFC, Rahadiazli Rahalim (kiri) belum lagi berpisah dengan penyokong skuad itu. FOTO Ghazali Kori
PENJAGA gol TFC, Rahadiazli Rahalim (kiri) belum lagi berpisah dengan penyokong skuad itu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menafikan penjaga gol muda, Muhammad Rahadiazli Rahalim sudah meninggalkan skuad itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaliknya pemain yang kini bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan itu masih lagi bersama skuad Penyu sekali gus menafikan spekulasi sebelum ini dia sudah 'berpisah' dengan skuad Penyu.

Jelasnya, lagipun kontrak penjaga gol nombor dua TFC itu masih berbaki dua tahun lagi sehingga 2025.

"Tidak betul, Abe (panggilan bagi Rahadiazli) masih lagi bersama pasukan TFC setakat ini.

"Berita mengenai perpindahannya yang dikaitkan dengan pasukan Sri Pahang FC, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC adalah hanya khabar angin, lagipun khidmatnya masih diperlukan pasukan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan," kata Mohd Sabri ketika ditemui di Kuala Terengganu.

Sepanjang musim ini, penjaga gol yang lahir daripada skuad Piala Belia Terengganu itu hanya beraksi dalam tujuh perlawanan bersama skuad TFC pada musim ini.

Ini berikutan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner lebih kerap menggunakan khidmat penjaga gol berpengalaman, Suhaimi Husin selepas prestasi memberangsangkan pemain berusia 29 tahun itu.

Malah selepas aksi terakhir Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) pada 13 Disember menentang kelab Indonesia, Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, jurulatih kelahiran Croatia itu bersedia melepaskan penjaga gol muda itu bersama kelab lain demi masa depannya.

Pada musim lalu bawah kendalian Nafuzi Zain, pemain berasal dari Setiu itu adalah penjaga gol utama skuad Penyu termasuk aksi final Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 1:23 PM