PENJAGA gol muda TFC berusia 19 tahun, Rahadiazli Rahalim idam posisi nombor satu pasukannya musim ini. FOTO Ihsan TFC
PENJAGA gol muda TFC berusia 19 tahun, Rahadiazli Rahalim idam posisi nombor satu pasukannya musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


PERMATA baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim pantas mencuri tumpuan apabila berjaya menambat hati barisan jurulatih untuk disenaraikan dalam skuad Penyu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penjaga gol berusia 19 tahun berketinggian 1.90 meter berasal dari Kampung Telaga Papan, Setiu itu, mula menjadi sebutan peminat setia selepas memperagakan aksi cemerlang dalam tiga aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II, Kelantan United dan minggu lalu menang 4-0 ke atas kelab Singapura, Hougang United.

Keputusan kem TFC membawa masuk bekas penjaga gol utama skuad Piala Belia Terengganu, yang menjuarai trofi itu musim lalu bawah kendalian bekas pemain legenda negeri, Subri Sulong, ternyata tepat dalam misi mengasahkan lagi bakatnya untuk bergelar penjaga gol terbaik.

Malah anak pemandu bot pelancong di Pulau Redang itu yang bakatnya mula dihidu ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Telaga Papan sebelum menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik, Setiu juga mengidam untuk mengawal pintu skuad senior kebangsaan suatu hari nanti.

“Jujur apa yang boleh dikatakan sebenarnya saya tidak menyangka terpilih menyarung jersi skuad utama (TFC) musim ini kerana saya masih lagi baharu dan belum ada pengalaman beraksi di pentas tertinggi terutama Liga Super.

“Namun saya bersyukur dengan kepercayaan yang diberikan barisan jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menaikkan `pangkat’ saya daripada pasukan belia, saya sudah sedia dan menyahut panggilan ini lebih-lebih lagi saya sukakan cabaran baharu.

“Impian saya bukan saja mahu bersaing secara sihat untuk bergelar penjaga gol nombor satu TFC dalam penampilan sulung musim 2020 ini, malah saya juga impikan sekurang-kurangnya meraih satu trofi sama seperti musim lalu ketika bersama pasukan Piala Belia.

“Sudah pasti saya mahu menyarung jersi pasukan kebangsaan satu hari nanti seperti idola saya penjaga gol negara, Khairulazhan Khalid, kerana itu impian sejak dibangku sekolah rendah lagi,” ujar Rahadiazli yang turut menjadikan penjaga gol Manchester United, David de Gea sebagai idolanya.

TFC turut memiliki dua penjaga gol berpengalaman, Mohd Shamirza Yusof dan Mohd Ilham Amirullah Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 2:16 PM