TSITSIPAS berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Marseille selepas menumpaskan Auger-Aliassime dalam perlawanan akhir, semalam. FOTO AFP
TSITSIPAS berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Marseille selepas menumpaskan Auger-Aliassime dalam perlawanan akhir, semalam. FOTO AFP
Reuters

PENYANDANG juara dan pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas menumpaskan pemain remaja Kanada, Felix Auger-Aliassime 6-3, 6-4 untuk muncul juara Terbuka Marseille.

Kejayaan itu membolehkan Tsitsipas adalah pemain pertama meraih trofi berturut-turut di kejohanan berkenaan sejak dilakukan bintang Sweden, Thomas Enqvist pada 1997 dan 1998.

Auger-Aliassime tumpas buat kali kedua di perlawanan akhir dalam tempoh lapan hari dan pemain berusia 19 tahun itu juga tidak berjaya memenangi sebarang set di lima aksi akhir ATP.

“Ia sangat menarik dapat bertarung di dalam gelanggang menentang anda (Auger-Aliassime). Saya merasakan anda membuatkan saya menjadi pemain yang bagus dan berharap anda juga begitu,” kata Tsitsipas dalam ucapan penyampaian trofi.

Tsitsipas memenangi 78 peratus servis pertamanya dan menamatkan kejohanan berkenaan tanpa tumpas sebarang set.

Walaupun Auger-Aliassime berjaya membalas setiap pukulan sukar Tsitsipas pada set pembukaan, namun untuk aksi berikutnya pemaim Greece itu mula mencari ruang dan menggunakan strategi dengan pukulan pendek.

Selepas berjaya mematahkan servis lawan untuk mengikat kedudukan 2-2, Tsitsipas mula mendapatkan rentak permainan namun Auger-Aliassime bersedia menunggu di garisan belakang.

Tsitsipas sekali lagi mendapat kelebihan namun Auger-Aliassime mengajaknya bermain di jaring, sekali gus memaksnya bermain secara bertahan berbanding melakukan pukulan voli.

Bagaimanapun, Tsitsipas sekali lagi berjaya mematahkan servis lawan untuk mendahului 4-3 sebelum memenangi servisnya untuk permainan seterusnya.

Auger-Aliassime hanya berjaya mempertahankan servisnya dan Tsitsipas menyempurnakan mata kemenangan untuk menamatkan aksi bawah 90 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 11:57 PM