AKSI Auger-Aliassime semalam ketika bertemu Medvedev. FOTO AFP
AKSI Auger-Aliassime semalam ketika bertemu Medvedev. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Bintang muda Kanada, Felix Auger-Aliassime berkata dia sudah bersedia berdepan pemain terbaik dunia selepas memberi tentangan sengit kepada pemain pilihan, Daniil Medvedev pada aksi suku akhir Terbuka Australia, semalam.

Medvedev yang menduduki ranking kedua dunia, bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum melakar kemenangan 6-7 (4/7), 3-6, 7-6 (7/2), 7-5, 6-4.

Medvedev akan bertemu pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas esok namun dia pastinya mengingati cabaran diberikan oleh Auger-Aliassime yang mengheret perlawanan itu selama 4 jam 42 minit.

Auger-Aliassime yang juga pilihan kesembilan berkata, aksi luar biasanya itu memberi keyakinan bahawa dia boleh berdepan dengan mana-mana pemain terbaik dunia.

"Saya sentiasa percaya yang saya boleh pamerkan aksi terbaik seperti perlawanan ini.

"Pada akhirnya saya rasakan ia memberi mesej kepada pemain lain yang saya boleh bersaing.

"Saya bersedia untuk menguji diri saya dengan barisan pemain hebat lain. Saya sudah membuktikannya dari semasa ke semasa," katanya.

Auger-Aliassime mempamerkan aksi cemerlang apabila membuatkan Medvedev bermandi peluh dan bekerja keras untuk melakar kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 1:50 PM