S KISONA ketepi cabaran Aya Ohori.
S KISONA ketepi cabaran Aya Ohori.
Ferzalfie Fauzi

HASRAT skuad badminton wanita negara untuk muncul juara Kumpulan W Kejohanan Berpasukan Asia tidak kesampaian apabila tumpas tipis 2-3 kepada Jepun dalam aksi yang berlangsung di Rizal Memorial Coliseum, Manila hari ini.

Bagaimanapun, Malaysia sudah pun mengesahkan tempat ke suku akhir kerana hanya dua negara yang diundi dalam kumpulan berkenaan selepas undian semula dilakukan Isnin lalu selepas beberapa negara menarik diri.

Aksi hari ini lebih kepada mencari juara kumpulan, seterusnya menjadi pasukan pilihan bagi undian suku akhir.

Malaysia bermula cemerlang melalui perseorangan pertama apabila Soniia Cheah menumpaskan bekas pemain nombor satu dunia, Akane Yamaguchi 21-16, 13-21, 21-18. Jepun yang juga juara bertahan Piala Uber kembali mengikat kedudukan 1-1 apabila pasangan nombor tiga dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota menumpaskan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 21-11, 21-15.

Juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei tidak berjaya menghidupkan kembali peluang negara apabila tumpas 18-21, 12-21 kepada Sayaka Takahashi.

Kemenangan Jepun disahkan melalui beregu kedua mereka, Nami Matsuyama-Chiharu Shida namun mereka terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya mengalahkan Pearly Tan-M Thinaah 21-15, 18-21, 21-16.

Mata kedua negara diraih pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina, S Kisona yang tenang mengetepikan Aya Ohori 21-14, 21-13. Undian suku akhir dijalankan hari ini selepas kesemua aksi peringkat kumpulan berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:26 PM