Kylian Mbappe menjaringkan gol kedua PSG. FOTO Reuters
Kylian Mbappe menjaringkan gol kedua PSG. FOTO Reuters
AFP

PARIS Saint-Germain mara ke peringkat separuh akhir Piala Perancis awal pagi ini, selepas membelasah Dijon 6-1 dalam perlawanan juara Perancis itu turut dibantu dengan dua gol sendiri.

PSG di depan hanya 47 saat selepas sepak mula susulan kesilapan Wesley Lautoa menampan hantaran rendah Mitchel Bakker ke gawang sendiri.

Ia adalah gol sendiri kedua dalam seminggu diperoleh PSG, yang turut menyaksikan Fernando Marcal dari Lyon menewaskan penjaga golnya sendiri hujung minggu lalu.

Begitupun tuan rumah menyamakan kedudukan pada minit ke 13 menerusi Mounir Chouiar yang berjaya melakukan rembatan mengatasi jangkaan Keylor Navas.

PSG memulakan permainan dengan Angel Di Maria dan Mauro Icardi di bangku simpanan, dan Neymar tidak disenaraikan.

Namun skuad bimbingan Thomas Tuchel diperkuat Kylian Mbappe dan Edinson Cavani yang tampil buat kali pertama dalam tempoh sebulan selepas hampir berpindah ke Atletico Madrid pada Januari.

Bintang Uruguay hampir meledak gol ke-200 peribadinya untuk kelab itu pada minit ke-21 selepas menerima hantaran Thomas Meunier, namun jaringan itu dinafikan VAR kerana bola terlebih dahulu terkena tangan pemain Belgium itu.

Mbappe (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
Mbappe (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters

“Ia tidak seteruk itu kerana dia boleh menjaringkan gol ke-200nya pada Sabtu (menentang Amiens) atau Selasa (Borussia Dortmund). Saya tahu dia mampu melakukannya,” kata Tuchel.

Mengenai perlawanan itu, dia menambah : “Saya gembira kerana kami berhak dengan kemenangan ini. Ia persembahan hebat.”

Mbappe meletakkan PSG di depan seminit sebelum rehat, diikuti jaringan Thiago Silva empat minit selepas babak kedua bermula dan Pablo Sarabia menambah dua gol yang di antaranya menyaksikan Senou Coulibaly tertampan bola ke gawang sendiri.

Sementara itu, pengendali Lyon, Rudi Garcia menyingkirkan bekas pasukannya Marseille selepas Houssem Aouar meledak gol tunggal permainan pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 8:01 AM