NEYMAR gembira selepas PSG membenam Monaco 4-0. FOTO/AFP
NEYMAR gembira selepas PSG membenam Monaco 4-0. FOTO/AFP
AFP

SHENZHEN, China: Bintang Brazil, Neymar turun beraksi buat kali pertama bersama kelabnya sejak Februari lalu apabila membantu Paris Saint-Germain membenam AS Monaco 4-0 di China semalam.

Dua gol Angel Di Maria mengesahkan kejuaraan buat PSG dalam aksi Trofi Juara-Juara Perancis - trofi pertama buat pengendali baharu Thomas Tuchel.

Neymar, yang berehat panjang susulan kecederaan kaki, masuk sebagai pemain gantian pada hujung perlawanan.

Di Maria membuka jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-33 dan dia meledak gol keempat PSG pada masa kecederaan selepas pemain muda Christopher Nkunku dan Timothy Weah turut menemui sasaran.

Ia kemenangan bermakna buat juara Perancis itu menjelang musim baharu, walaupun tampil tanpa kelibat Kylian Mbappe dan Edinson Cavani yang masih bercuti selepas Piala Dunia.

PSG akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 pada 12 Ogos ini, menentang Caen di laman sendiri.

“Saya sangat gembira kerana memenangi final pertama kami. Ia hebat, menang 4-0 amat menakjubkan,” kata Tuchel, 44.

“Saya suka melihat kami bermain sebagai satu pasukan. Ia pasukan yang masih muda dan suasananya amat sukar (cuaca panas), tapi kami bermain dengan bersungguh-sungguh.”

Bekas bos Borussia Dortmund, Tuchel diraikan pemainnya selepas sidang media, seperti yang dilakukan kepada Didier Deschamps selepas Perancis menjuarai Piala Dunia bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 8:26 AM