TENGKU Ahmad Tajuddin (jersi merah) meledak dua gol untuk membantu UniKL mengalahkan  UiTM 4-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia. FOTO NSTP
TENGKU Ahmad Tajuddin (jersi merah) meledak dua gol untuk membantu UniKL mengalahkan UiTM 4-0 dalam saingan Liga Hoki Malaysia. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


TENGKU Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menjadi pencetus kepada kemenangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ketika menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 4-0 di Stadium Tengku Abdullah, hari ini.

Penyerang veteran skuad kebangsaan itu menjaringkan dua gol UniKL pada minit pertama dan ke-47 yang kemudian memberi suntikan semangat kepada rakan sepasukan lain untuk meledak gol.

Walaupun belum pulih sepenuhnya selepas selamat menjalani pembedahan di bahagian rahang bulan lalu dan memakai penutup kepala, Tengku masih mampu mempamerkan aksi terbaiknya.

Dua gol selepas itu menyusul menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim minit ke-53 dan jaringan padang tonggak import Belanda, Roel Bovendeert minit ke-54.

“Pada suku terakhir kami kembali berusaha untuk menambah gol. Jika tidak kami akan berdepan masalah.

“Saya akui masih berasa takut untuk turun beraksi sebab belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Saya perlu berhati-hati dan tidak boleh terlalu agresif. Selepas ini fokus saya hanyalah mahu menjaringkan gol dan pastikan UniKL memenangi kejuaraan liga,” kata Tengku.

Tengku sudah menjaringkan tiga gol dan yang menariknya ketiga-tiga gol itu diperoleh selepas kembali beraksi bersama UniKL.

Selepas 10 perlawanan, UniKL kini memungut 30 mata maksimum dan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 11:36 PM