LUIS SUAREZ
LUIS SUAREZ
AFP

BARCELONA: Barcelona ‘mengganas’ dalam pertembungan Clasico menentang seteru utama, Real Madrid apabila Luis Suarez meledak hatrik untuk membantu pasukannya menang besar 5-1, di saingan La Liga, Sepanyol awal pagi tadi.

Kekalahan memalukan itu juga dikatakan bakal menjadi punca utama jurulatih Real Madrid, Julen Lopetegui akan dipecat dalam tempoh terdekat.

Barcelona mendominasi perlawanan di Camp Nou dan Real Madrid hanya memberi saingan dalam tempoh 15 minit sebelum tamat babak pertama, sebelum dilihat mudah menyerah kalah sepanjang baki perlawanan.

Pada masa sama, Real juga berterusan gagal menyelesaikan banyak masalah di bawah kendalian Lopetegui - penyudah yang tumpul, pertahanan yang cukup rapuh, bahkan pemain utama juga beraksi di bawah keupayaan sebenar mereka.

Nasib malang juga menyelubungi Real apabila percubaan Luka Modric terkena tiang gol, manakala gol kedua Barca hasil jaringan Suarez dihasilkan menerusi penalti selepas semakan menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Dalam aksi pagi tadi, Philippe Coutinho meledak jaringan pertama pada minit ke-11 dan Arturo Vidal melengkapkan kemenangan penuh bergaya menerusi tandukan pada minit ke-87.

Marcelo memberikan sedikit nafas kepada pelawat apabila merembat kencang untuk gol tunggal Real pada minit ke-50, sekaligus merapatkan kedudukan 1-2, namun selepas itu banyak percubaan mereka tidak menepati sasaran.

PEMAIN Barcelona meraikan jaringan Suarez. -Foto
PEMAIN Barcelona meraikan jaringan Suarez. -Foto

Suarez nyata cukup bijak menggunakan kesempatan selepas ketiadaan Lionel Messi yang cedera dengan meledak hatrik pada minit ke-30, ke-75 dan ke-83 sekali gus membuktikan dia masih boleh diharapkan untuk memastikan kemenangan Barca.

“Kami memang berbangga kerana memiliki pemain terbaik dunia di dalam pasukan,” kata Suarez. “Tetapi kami berjaya membuktikan, kami adalah sebuah pasukan yang hebat dan memiliki jurulatih yang hebat,”

Bagi Lopetegui, beliau hanya meraih satu kemenangan dalam enam perlawanan setakat ini dan Real masih kekal di tangga kesembilan liga, tujuh mata ketinggalan di belakang Barceloja yang kembali merampas tahta La Liga.

“Apa yang kami pamerkan pada hari ini sama seperti yang kami lakukan sepanjang musim ini,” kata pemain Real, Casemiro. “Kami perlu lebih kuat, lebih banyak bergerak dan perlu lebih banyak semangat melawan,”

Kekalahan terkini itu juga mengimbau bagaimana Real tumbang 0-4 kepada Barca ketika di bawah kendalian Rafael Benitez pada musim 2016.

Benitez berjaya bertahan selama dua bulan sebelum dipecat, namun Lopetegui mungkin tidak akan kekal untuk seminggu lagi.

Pertembungan Clasico kali ini juga menyaksikan, dua bintang utama - Messi atau Cristiano Ronaldo tidak beraksi buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun, namun Suarez membuktikan dia berada di kelas tersendiri.

Kejayaan itu juga cukup manis buat Suarez, yang menyambut kelahiran anak ketiga, lima hari lalu. “Ia membuatkan saya cukup gembira,” kata Suarez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:10 AM