JASAZRIN naik pangkat.
JASAZRIN naik pangkat.
Asrol Awang


JASAZRIN Jamaluddin yang dilantik selaku kapten FELDA united FC musim ini berterima kasih di atas kepercayaan diberikan pengurusan kelab itu. 

Dia yang juga bekas pemain kebangsaan berjanji memikul amanah diberikan itu dengan penuh keikhlasan dalam usaha meletakkan The Fighters pada prestasi terbaik. 

"Musim lalu saya pernah jadi kapten tetapi hanya sebagai pengganti apabila Hadin Azman tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan.  Saya tiada masalah untuk memikul amanah ini kerana percaya pengurusan, barisan kejurulatihan dan rakan akan memberi sokongan. 

"Fokus utama ialah memastikan The Fighters yang sebahagian besar dibarisi pemain muda dapat memberikan komitmen dan prestasi terbaik," katanya. 

Semalam, pengendali The Fihters yang juga bekas pemain kebangsaan, Mohd Nidzam Jamil mengesahkan Jasazrin selaku kapten yang baru.  Ini kerana musim lalu lilitan kapten itu milik Hadin Azman tetapi pemain tengah itu membuat keputusan berhijrah ke pasukan baru musim ini. 

Ditanya komitmen pemain muda kelab itu, Jasazrin berpuas hati dengan kesungguhan yang diberikan dan percaya mereka akan cepat menyesuaikan diri sebaik liga bermula nanti.  "Mereka begitu bersemangat dan mahu memajukan diri setiap kali berlatih terutama dengan bimbingan jurulatih dan pemain senior," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 10:44 PM