KHAIRUL  Amri  (kanan) sandaran The Fighters robek gawang Pahang.
KHAIRUL Amri (kanan) sandaran The Fighters robek gawang Pahang.
Asrol Awang

PENGENDALI FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui Pahang terlalu gah berbanding kelab itu menjelang pertembungan di Stadium Darul Makmur, malam esok. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kekuatan dimiliki skuad kendalian Dollah Salleh memerlukan kesungguhan tinggi daripada barisan pemain The Fighters. 

"Saya akui Pahang terlalu kuat kalau dibandingkan dengan kami. Ini menjadikan kedudukan kami lebih sukar memandangkan ketika ini kami sangat memerlukan mata jika mahu kekal beraksi di Liga Super musim depan. 

"Pemain perlu lebih fokus sambil memanfaatkan segala peluang yang ada malam esok dan seterusnya memberikan tekanan kepada tuan rumah yang ingin mengekalkan status naib juara Liga Super," katanya. 

Mohd Nidzam berkata, sentuhan berbisa Khairul Amri Kamal menjadi taruhan The Fighters untuk merobek gawang skuad Tok Gajah. 

Katanya, jaringan awal amat diperlukan untuk memastikan mereka tidak dikecewakan Pahang.  "Saya boleh sahkan Hadin (Azman) yang juga kapten pasukan tidak dapat beraksi kerana belum pulih daripada kecederaan. 

"Biarpun tanpa Hadin, saya percaya barisan pemain diturunka dapat memberi saingan kepada pemain tuan rumah," katanya. 

Berdasarkan rekod pertemuan pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka 30 Mac lalu, FELDA United tewas 1-3 kepada Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:34 PM