WAI Yin (kanan) menyerahkan replika cek kepada Zii Jia di majlis pelantikan sebagai duta 100 Plus di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
WAI Yin (kanan) menyerahkan replika cek kepada Zii Jia di majlis pelantikan sebagai duta 100 Plus di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi


BELUM pun sempat turun ke gelanggang untuk memulakan saingan musim 2020, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah mendapat pembakar semangat apabila dihadiahkan RM10,000 oleh jenama air isotonik terkenal, 100PLUS.

Dia yang dilantik menjadi duta terbaru 100PLUS memperoleh insentif berkenaan selepas berjaya membawa pulang emas dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Sea Filipina, baru-baru ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan 100PLUS kerana melantik saya menjadi duta. Pemilihan ini akan membuatkan saya lebih fokus di dalam latihan dan meraih keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui di Arena Axiata, semalam.

Dia yang menduduki ranking ke-14 dunia berharap dapat tampil lebih berkeyakinan dan bertekad untuk mencatat keputusan cemerlang selepas mendapat sokongan 100PLUS.

“Saya juga tidak sangka mendapat kepercayaan daripada (jenama) air minuman isotonik nombor satu Malaysia pada usia 22 tahun. Saya harus lebih rajin dan tidak mahu mengecewakan mereka,” katanya yang bakal berdepan pemain perseorangan lelaki Denmark, Anders Antonsen di pusingan pertama Masters Malaysia minggu ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin mengakui mereka sudah mengadakan perbincangan dengan Zii Jia sebelum pemain itu bertolak ke Manila lagi.

“Dia menjadi duta 100PLUS mengikut jejak Datuk Lee Chong Wei yang berkolaborasi dengan kami sejak 2009. Dia sebelum ini berjaya menerima cabaran kami dan membawa pulang emas di Sukan Sea dan usahanya dibalas dengan insentif bernilai RM10,000.

“Hari ini (semalam) kami berasa sangat gembira dapat mengikat persetujuan selama dua tahun dengan Zii Jia. Dia akan menggunakan logo 100PLUS di jersi yang dipakainya, serta menyertai program dan kempen berkaitan minuman ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:01 AM