Wai Yin (tengah) bersama Thinaah (kiri) dan Pearly selepas tandatangani kontrak sebagai duta baharu 100PLUS.
Wai Yin (tengah) bersama Thinaah (kiri) dan Pearly selepas tandatangani kontrak sebagai duta baharu 100PLUS.

Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah dilantik sebagai duta baharu jenama minuman isotonik terkenal, 100PLUS.

Ia menyaksikan pasangan itu menyertai beberapa lagi pemain badminton negara yang lain seperti legenda, Datuk Lee Chong Wei; pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia serta pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia- Soh Wooi Yik.

Pearly mengakui sokongan yang ditunjukkan oleh jenama terkemuka seperti 100PLUS pasti memberikan suntikan semangat kepada keyakinan mereka.

"100PLUS memang sinonim dengan badminton di negara ini dan kami teruja dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh mereka. Pemain yang mendapat sokongan 100PLUS memenangi banyak gelaran utama termasuklah di Sukan Olimpik.

"Kami akan terus bekerja keras untuk meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin berkata gandingan itu dijangka muncul sebagai pasangan utama dunia sedikit masa lagi.

"Kami mengikuti perkembangan mereka sejak beberapa tahun lalu dan sangat kagum dengan kemajuan yang ditunjukkan.

"Pemilihan Pearly dan Thinnah sebagai duta jenama 100PLUS satu keputusan yang cukup mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wai Yin berkata beregu nombor 19 dunia itu menandatangani perjanjian penajaan selama dua tahun dengan 100PLUS yang akan membekalkan minuman isotonik kepada mereka semasa latihan dan perlawanan.

Selain menaja pemain badminton negara, 100PLUS turut bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 9:40 PM