Pemain Arsenal beri sokongan terhadap Leno. FOTO REUTERS
Pemain Arsenal beri sokongan terhadap Leno. FOTO REUTERS
Agensi

PEMAIN Arsenal secara terbuka memberi sokongan terhadap Bernd Leno selepas kesilapannya membolehkan Chelsea meraih tiga mata di Stadium Emirates.

Bos baru Gunners Mikel Arteta yang mencari kemenangan pertama selaku pengurus pada perlawanan pertama di tempat sendiri kemudian menerima padah akibat kesilapan dilakukan oleh Leno membolehkan Blues kembali bangkit pada separuh masa kedua, malam tadi.

Ketika perlawanan separuh masa kedua berbaki tujuh minit dan kelab utara London itu mendahului 1-0, penjaga gol Jerman itu meluru keluar untuk menyelamatkan hantaran lintang Willian.

Dia bagaimanapun tersilap jangkaan ketika melompat untuk menumbuk bola tetapi terlepas yang memudahkan Jorginho menyepak masuk dari jarak dekat untuk gol penyamaan.

Leno juga gagal menyekat sepakan gol kemenangan Tammy Abraham untuk Chelsea meraih tiga mata empat minit kemudian tetapi dia masih menulis mesej penuh emosi di Instagram selepas perlawanan untuk menyatakan kesilapan dilakukannya.

Bersama fotonya pada perlawanan itu, dia menulis: "Sangat sukar hari ini tetapi saya mesti memandang ke hadapan”.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 9:01 PM