CECH sudah menghabiskan 11 musim di Stamford Bridge. FOTO/AFP
CECH sudah menghabiskan 11 musim di Stamford Bridge. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Chelsea berpeluang mendapatkan kembali khidmat Petr Cech ketika mereka bersedia menghadapi ancaman Real Madrid yang mahukan Thibaut Courtois.

Kelab dari Stamford Bridge itu juga berminat terhadap Kasper Schmeichel dan Gianluigi Donnarumma susulan spekulasi pemain Belgium itu akan meninggalkan kelab barat London itu pada musim panas ini.

Arsenal bersedia menjual Cech bagi memberikan pengurus Unai Emery mencari dana untuk terus membina semula skuadnya.

Emery masih berminat untuk membeli Steven N’Zonzi, yang menang Piala Dunia bersama Perancis hujung minggu lalu. Pengurus itu bekerjasama dengan N’Zonzi di Sevilla.

Penjaga gol veteran itu sudah menolak tawaran berpindah ke Napoli untuk kekal di Emirates dan bertarung bagi mendapatkan tempat dengan pencabar baharu, Bernd Leno.

Leno seorang daripada lima pemain utama yang tiba di Arsenal pada musim panas ini.

Cech menghabiskan 11 musim di Stamford Bridge, menang kejuaraan Liga Perdana Inggeris empat kali dan Liga Juara-Juara.

Dia difahamkan memiliki hubungan baik dengan pengarah Chelsea, Marina Granovskaia yang boleh membantu kepulangannya ke kelab itu.

Real menjadikan Courtois sasaran utama penjaga golnya dan pemain Belgium itu menyatakan masa depannya tidak pasti di Stamford Bridge yang membuatkan kelab gergasi Sepanyol itu terus memantaunya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 1:31 PM