TSITSIPAS meraikan kejayaan menundukkan Nadal pada separuh akhir Terbuka Madrid. — FOTO EPA
TSITSIPAS meraikan kejayaan menundukkan Nadal pada separuh akhir Terbuka Madrid. — FOTO EPA
AFP

NOVAK Djokovic berdepan Stefanos Tsitsipas pada final Terbuka Madrid selepas pemain Greece berusia 20 tahun itu mengejutkan Rafael Nadal untuk memenangi separuh akhir yang menarik 6-4, 2-6, 6-3 awal pagi tadi.

Nadal menjadi pilihan untuk menentang Djokovic pada final di Caja Magica hari ini namun juara 17 gelaran Grand Slam itu meneruskan persiapan menjelang Terbuka Perancis dengan satu lagi kekalahan mengejut.

Kemenangan mengagumkan Tsitsipas bermakna dia layak ke final ATP keempat musim ini selain membenarkan tanggapan yang menyatakan dia sebagai bintang masa depan tenis lelaki.

“Secara emosi ia terlalu sukar, ia satu daripada kemenangan paling sukar pernah saya raih,” kata Tsitsipas.

NADAL membalas pukulan Tsitsipas pada separuh akhir. — FOTO EPA
NADAL membalas pukulan Tsitsipas pada separuh akhir. — FOTO EPA

Mungkin terlalu awal untuk menjangkakan pemain nombor sembilan dunia itu mencabar di Roland Garros hujung bulan ini namun Tsitsipas sudah mula menyinar di pentas besar.

Dari segi kemenangan karier, ia mungkin kedua terbaik selepas menyingkirkan Roger Federer pada Terbuka Australia Januari lalu, apabila dia layak ke separuh akhir bagi pencapaian terbaiknya dalam kejohanan Grand Slam.

Namun selain Federer dan Nadal, Tsitsipas juga mengalahkan Alexander Zverev dan Dominic Thiem, kedua-duanya dua kali dan Djokovic, yang ditemuinya di gelanggang keras di Kanada tahun lalu dan menang dalam tiga set.

Dia akan meraih keyakinan daripada keputusan itu menjelang final hari ini malah keyakinannya pasti meningkat selepas mengatasi Nadal di gelanggang tanah liat.

Terdahulu, Djokovic menewaskan Dominic Thiem dari Austria 7-6 (7/2), 7-6 (7/4) pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 1:11 PM