SAFAWI (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
SAFAWI (tengah) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


KEMATANGAN Safawi Rasid tatkala diturunkan dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) membantu pasukan itu untuk membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 4-1 untuk mara ke separuh akhir pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Dua yang terhasil oleh pemain kelahiran Dungun, Terengganu dan dua gol lagi oleh pemain import sensasi Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera sudah cukup untuk juara Liga Super enam musim berturut-turut mencipta kemenangan 5-1 secara agregat dan menempah tiket ke separuh akhir piala berprestij itu.

Apapun pemain kebangsaan itu tampak bersikap merendah diri dan menegaskan betapa dua gol yang terhasil dalam perlawanan itu adalah daripada sokongan rakan sepasukan yang sentiasa memberi kerjasama ketika beraksi padang.

“Tanpa rakan sepasukan sudah tentu saya tidak dapat menjaringkan dua gol dan semuanya hasil kesungguhan mereka yang inginkan JDT mara ke separuh akhir dan saya akui aksi menentang TFC cukup mencabar kerana pasukan itu bukan calang-calang.

“Memang agak terkilan apabila minit awal perlawanan saya memiliki peluang terbaik menjaringkan gol tapi nasib belum menyebelahi saya ketika itu dan kemudian barulah saya lega selepas menjaringkan pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma.

“Gol kedua itu juga amat penting kerana kita berjaya merentap semangat melawan pasukan lawan dan kami lebih yakin meneruskan perlawanan dengan menguasai keseluruhan aksi malah saya akui setiap posisi bermula di pertahanan, tengah dan serangan membentuk kombinasi mantap sehingga berjaya merealisasikan kemenangan,” katanya.

Ditanya mengenai bakatnya yang pada awal sekadar beraksi bersama T-Team FC (kini dikenali Terengganu FC II) ketika usia mencecah 19 tahun, dia mengakui berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawanya untuk menyertai skuad Harimau Selatan.

Malah katanya, jika dia tidak menyertai JDT kemungkinan prestasinya tidak seperti sekarang kerana pengalaman berlatih di bawah jurulatih berkaliber selain mendapat pendedahan terbaik daripada pemain import yang berkualiti beri motivasi kepadanya untuk bekerja keras tampil beraksi dengan konsisten.

“Apapun saya juga tidak lupa dengan bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan yang mengesan bakat saya. Tapi Tunku Mahkota Johor yang memainkan peranan penting untuk karier bola sepak saya dan saya akan terus bekerja keras.

“Dalam sukan bola sepak tiada istilah untuk saya sudah bagus, sebaliknya banyak lagi saya harus dipelajari dan memahami teknik permainan yang lebih mantap dan ia akan berterusan setiap hari menerusi latihan yang konsisten,” kata Safawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 7:21 PM