FIRMINO (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Liverpool. - FOTO EPA
FIRMINO (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua Liverpool. - FOTO EPA
AFP

JURGEN Klopp yakin keghairahan Liverpool memburu kejayaan punca kemenangan ke atas Chelsea malam tadi sekali gus meneruskan permulaan sempurna mereka dalam aksi Liga Perdana.

Kemenangan 2-1 itu yang keenam berturut-turut dalam kempen awal musim selepas cekal menangkis serangan menggila Chelsea pada babak kedua untuk melonjak lima mata di hadapan Manchester City.

Rembatan kencang Trent Alexander-Arnold dan tandukan Roberto Firmino meletakkan The Reds di hadapan pada babak pertama sebelum N'Golo Kante merapatkan jurang dalam aksi sengit di Stamford Bridge.

Liverpool kemudiannya tangkas dan matang menyerap asakan Chelesa sesuai dengan status calon juara dan Klopp menegaskan dia tak pernah meragui kemampuan pemainnya kerana mereka kumpulan sangat komited.

KLOPP memeluk  Kelleher  selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
KLOPP memeluk Kelleher selepas tamat perlawanan. FOTO AFP

"Saya tak terkejut dengan karakter pasukan kerana kami sudah menjangkakannya, kami berjuang untuk segalanya.

"Pemain melakukannya dengan sangat baik, mereka bertarung hebat. Ia sebenarnya normal apabila anda diberi tekanan tetapi kami bertahan dengan baik.

“Itulah situasinya dalam kelompok enam pasukan teratas Liga Perdana. Anda tidak akan menang di Chelsea tanpa melakukan perkara yang betul dan kami melakukannya hari ini.”

Apa yang membimbangkan Klopp ialah kecederaan dialami pemain sayap Senegal, Sadio Mane yang terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.

"Terdapat hentakan pada tulang di lutut. Dia OK tapi kami terpaksa keluarkannya selepas saya tak suka lihat cara dia berlari.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:06 AM