BARELLA  (dua dari kanan)  diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan Inter di Stadium Giuseppe Meazza, Milan. - FOTO Agensi
BARELLA (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan Inter di Stadium Giuseppe Meazza, Milan. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN gantian, Nicolo Barella muncul penyelamat Inter Milan selepas jaringannya pada masa kecederaan membolehkan mereka seri 1-1 menentang Slavia Prague dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara di San Siro, awal pagi tadi.

Juara Czech itu yang tewas semua enam aksi di Itali sebelum ini mengejutkan tuan rumah menerusi Peter Olayinka pada minit ke-63 dalam aksi Kumpulan H.

Inter yang tersingkir pada peringkat kumpulan musim lalu bergelut mencari gol penyamaan sehinggalah Barella meledak rembatan mengelirukan selepas bola singgah di kakinya hasil sepakan percuma Stefano Sensi di luar kotak penalti yang terkena palang dan melantun ke arahnya.

Walaupun lega tidak kalah, Inter tetap kesal gagal meraih mata penuh di tempat sendiri kerana dua lagi lawan selepas ini ialah Borussia Dortmund dan Barcelona.

"Ini bukan bola sepak kami,” kata jurulatih Inter, Antonio Conte. "Kami perlukan lebih personaliti dan perlu diperbaiki kelemahan. Kami tidak mempraktikkan apa yang dipelajari ketika sesi latihan dan saya sangat tak puas hati. Banyak lagi perlu dilakukan.”

"Berdasarkan keseluruhan perlawanan, keputusan seri ini mungkin adil kerana Inter turut memiliki peluang,” kata pertahanan Slavia, Vladimir Coufal.

Sementara itu di Lisbon, penyerang RB Leipzig, Timo Werner menjaringkan dua gol pada babak kedua bagi membantu pasukannya menewaskan Benfica 2-1 dalam aksi Kumpulan D. Gol tuan rumah pula dijaringkan pemain gantian, Haris Seferovic enam minit sebelum tamat perlawanan.

WERNER meraikan  jaringan pertama bersama rakan sepasukan di  Estadio da Luz, Lisbon. - FOTO Reuters
WERNER meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan di Estadio da Luz, Lisbon. - FOTO Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 10:41 AM