Penyokong ditempatkan di kawasan selamat di dalam Stadium.
Penyokong ditempatkan di kawasan selamat di dalam Stadium.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membuat aduan rasmi kepada kerajaan Indonesia berhubung insiden kekecohan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta membabitkan perlawanan Harimau Malaya menentang Indonesia pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau juga akan membuat aduan rasmi kepada rakan sejawatannya di sana.

Beliau nyata terkejut apabila merasai sendiri keadaan tegang itu ketika bersama-sama penyokong Harimau Malaya memberikan sokongan kepada skuad negara turut memuat naik suasana di dalam stadium.

"Sebentar tadi saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno. Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali.

"Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika

"Saya dimaklumkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bahawa mereka akan membuat aduan rasmi kepada FIFA. Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana.

"Gangsterism tidak ada tolak ansur dalam apa jua cara. Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp.

Syed Saddiq berkata, ketika ini beliau masih lagi bersama-sama dengan penyokong Malaysia ditempatkan di dalam stadium sementara menanti keadaan di luar reda dan boleh pulang.

"Kejadian ini amat menyedihkan buat industri sukan bola sepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan.

"Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 12:08 AM