Iskandar Shah Mohamed


ARYA Premier Sdn Bhd secara rasmi menjadi penaja utama acara jelajah berbasikal wanita antarabangsa, Le Tour de Femina 2019 (LTdF) pada November ini.

Syarikat tempatan yang mempunyai gabungan dengan syarikat multinasional dan pelbagai rangkaian perniagaan antarabangsa itu turut mendapat hak eksklusif sebagai penaja jersi merah jambu bagi juara keseluruhan serta jersi putih bagi juara Asia acara berkenaan.

Hari ini, Arya Premier menandatangani perjanjian tajaan bernilai 2.2 juta dolar Amerika (RM9.2 juta) bagi perlumbaan itu yang membabitkan penyertaan pasukan dari benua Afrika, Amerika, Asia dan Eropah.

Naib Pengerusi Operasinya, Nor Azhar Hamzah teruja dan berbangga kerana kali pertama menjadi sebahagian daripada 'keluarga' LTdF.

"Ia menepati falsafah perniagaan kami untuk membantu usaha memperkasakan wanita dalam bidang sukan terutama acara berbasikal di peringkat serantau dan global.

"Kami yakin LTdF menyediakan platform terbaik untuk syarikat mengembangkan lagi jenama dan usaha komersil selain memberi peluang menjana manfaat sosial, ekonomi bagi komuniti," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, Shahirudeen Seeni mengalukan penyertaan dan komitmen Arya Premier Sdn Bhd bagi LTdF berkenaan.

"Kami berharap dapat terus memperkukuh usahasama itu dan yakin LTdF akan berkembang ke peringkat lebih tinggi," katanya.

LTdF yang dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 21 November itu anjuran Ciclista Sports Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). Ia bertujuan memperkasakan wanita dalam sukan selain menjadikan Malaysia antara hab sukan berbasikal wanita ulung di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 6:41 PM