COUTINHO (kiri) berlatih bersama Renato Sanches di Munich, Selasa lalu. - FOTO AFP
COUTINHO (kiri) berlatih bersama Renato Sanches di Munich, Selasa lalu. - FOTO AFP
AFP

IVAN Perisic dan Philippe Coutinho berharap dapat mengecapi aksi sulung Bundesliga apabila juara bertahan, Bayern Munich menentang Schalke, awal pagi Ahad ini.

Perisic dan Coutinho yang tiba di Munich secara pinjaman awal bulan ini bakal tersenarai kali pertama dalam misi Bayern meraih kemenangan menentang skuad David Wagner di tempat lawan.

Coutinho, 27, menjadi buah mulut di Jerman sejak Bayern mengumumkan kehadirannya secara pinjaman selama setahun dari Barcelona minggu lalu.

Pengarah Kesukanan Bayern, Hasan Salihamidzic berkata, bintang Brazil itu mampu mencetuskan impak dan mencipta nama dalam saingan peringkat tertinggi di Jerman.

"Coutinho pemain bertaraf dunia dan kami semua gembira dia beraksi di Bundesliga,” kata bekas pemain Bayern dan Liverpool, Dietmar Hamann kepada Sky.

Bagaimanapun, jurulatih Niko Kovac mengesahkan Coutinho belum cergas sepenuhnya untuk beraksi 90 minit dan mungkin masuk sebagai pemain gantian menentang Schalke.

"Saya tahu ramai mahu menyaksikan dia membarisi kesebelasan utama tetapi beberapa aspek perlu diambil kira,” kata Kovac sambil menegaskan Perisic mempunyai lebih peluang tersenarai dalam perlawanan Ahad ini.

"Tahap kecergasannya lebih baik berbanding Philippe."

Perisic, 30, menyertai Bayern selama setahun dari Inter Milan awal bulan ini tetapi tidak dapat beraksi dalam perlawanan pembukaan menentang Hertha Berlin yang berkesudahan seri 2-2 susulan menjalani penggantungan yang diterima dalam Serie A.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:49 AM