KOVAC (kiri) bersama Perisic yang dipinjam selama setahun dari Inter Milan. — FOTO AFP
KOVAC (kiri) bersama Perisic yang dipinjam selama setahun dari Inter Milan. — FOTO AFP
AFP

JURULATIH Bayern Munich, Nico Kovac menegaskan pasukannya masih membuka pintu untuk membawa masuk beberapa pemain baharu sebelum jendela perpindahan Eropah ditutup.

“Kami perlu menguatkan pasukan – kami masih perlukan sesuatu,” kata Kovac pada sidang media menjelang aksi pembukaan Bundesliga di laman sendiri menentang Hertha Berlin, awal pagi Sabtu ini.

Duduk di samping Kovac warga senegaranya Ivan Perisic, pemain sayap yang disambar Bayern dari Inter Milan, hadir secara pinjaman setahun semalam.

Kovac melahirkan rasa puas dengan ketibaan Perisic.

“Tapi kami sedar dia boleh mengalami kecederaan – kami perlu bersedia dengan kemungkinan ini. Kami perlukan pemain untuk membentuk semula dan mengukuhkan skuad,” katanya menjelang jendela perpindahan yang berakhir 2 September depan.

Bayern kehilangan Mats Hummels kepada pencabar kejuaraan Borussia Dortmund dan menyambut kehadiran pemenang Piala Dunia Perancis, Benjamin Pavard dari Stuttgart dan Lucas Hernandez dari Atletico Madrid.

Namun di bahagian serangan kelab Bavaria itu perlu mengisi kekosongan susulan ketiadaan Franck Ribery, Arjen Robben dan James Rodriguez.

Perisic menambah sengat di samping Serge Gnabry dan Kingsley Coman, namun Bayern perlukan skuad yang lebih besar jika mahu bersaing di domestik dan Eropah.

Nama yang disebut-sebut dalam media termasuk pemain Barcelona, Philippe Coutinho, Timo Werner (RB Leipzig), Steven Bergwijn (PSV Eindhoven) atau Gareth Bale (Real Madrid).

Kovac menyatakan cerita itu hanya “khabar angin.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 9:29 PM