Futra anggap menang dengan Thailand kejayaan besar. FOTO fail HM Digital
Futra anggap menang dengan Thailand kejayaan besar. FOTO fail HM Digital
Haika Khazi

 

KUALA LUMPUR: Bekas perejam emas negara Mohd Futra Abdul Ghani, optimis Malaysia mampu tumpaskan Thailand di kejohanan Piala Raja Thailand di Bangkok akhir bulan ini berdasarkan prestasi skuad kebangsaan di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Bagaimanapun, Futra yang pernah membantu Malaysia memenangi emas di Sukan SEA Manila 2005, menegaskan ia bergantung kepada pemilihan dan persiapan pemain kebangsaan yang bakal beraksi di Piala Raja Thailand nanti.  

"Saya tidak boleh ulas terlalu mendalam kerana tidak tahu sejauh mana kekuatan dan persiapan dibuat skuad Malaysia kerana kebanyakan pemain kebangsaan sekarang mewakili negeri masing-masing di Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) di Perak,” kata Futra.

"Namun, kalau kita lihat berdasarkan prestasi dan kesungguhan regu utama Malaysia ketika menewaskan Indonesia di final acara antara regu, sekali gus membolehkan kita menang emas di Sukan Asia 2018, saya rasa kita boleh menewaskan Thailand."

Sebelum ini media melaporkan Malaysia wajib kalahkan Thailand untuk membuktikan status sebagai jaguh Asia sekali gus menutup mulut pengkritik apabila skuad sepak takraw negara menyertai kejohanan Piala Raja Thai, akhir bulan ini.

Tindakan itu perlu susulan kejayaan skuad negara meraih pingat emas acara regu di Sukan Asia 2018 dikritik hebat kerana Malaysia dikatakan bernasib baik kerana seteru utama, Thailand tidak mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Justeru, Mohd Futra menegaskan sekiranya Malaysia menang dengan Thailand sama ada dalam acara antara regu, beregu berpasukan atau pun quadrant maka ia boleh dianggap satu kejayaan besar dan bonus kepada skuad sepak takraw di kejohanan Piala Raja Thailand nanti.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 3:37 PM