Hamilton (tengah) bersama Verstappen (kiri) dan Bottas. FOTO REUTERS
Hamilton (tengah) bersama Verstappen (kiri) dan Bottas. FOTO REUTERS
AFP

LEWIS Hamilton hampir menarik diri daripada sesi kelayakan Grand Prix Jerman disebabkan masalah sakit tekak dialami tetapi masih mampu meraih petak utama kali ke-87 kariernya.

Juara dunia lima kali itu berkata dia mengalami kesakitan itu ketika bangun pagi semalam dan memberitahu pasukan dia tidak berada dalam keadaan cergas.

Esteban Ocon diletakkan sebagai pemandu gantian sekiranya Hamilton tidak dapat berlumba.

“Saya tidak berasa sihat awal pagi tadi. Saya mengalami sakit tekak, jadi kami bersedia sekiranya tidak dapat melakukan sesi,” kata Hamilton.

“Kami bersedia meletakkan pemandu gantian sekiranya keadaan memerlukan tetapi saya dapat melakukannya.”

Kedudukan petak utama kelima Hamilton itu adalah kali pertama di Hockenheim sejak 2008.

“Ia sesi kelayakan biasa yang mudah. Pasukan melakukan tugas dengan baik dari segi ketepatan yang membolehkan kami keluar pada masa yang tepat,” katanya.

“Kami nampak dua Ferrari tidak berada dalam saingan. Jelas sekali ia membuatkan sedikit berbeza daripada segi pertarungan kami hadapi di penghujung.

Hamilton merakam masa satu minit 11.767, mengenepikan pemandu Red Bull, Max Verstappen dengan 0.346 saat.

Rakan sepasukan Mercedes Hamilton, Valtteri Bottas ketiga di depan seorang lagi pemandu Red Bull, Pierre Gasly manakala pemandu Ferrari Charles Leclerc gagal berada dalam kelompak sesi kelayakan akibat masalah saluran minyak pada keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:57 AM