HAMILTON  mencatat bacaan  1 minit 25.892 saat pada pusingan terakhir untuk mengatasi Vettel dengan 0.044s. FOTO/AFP
HAMILTON mencatat bacaan 1 minit 25.892 saat pada pusingan terakhir untuk mengatasi Vettel dengan 0.044s. FOTO/AFP
AFP

SILVERSTONE: Lewis Hamilton yang beremosi mengatasi Sebastian Vettel dalam sesi kelayakan Formula Satu (F1) Grand Prix British sekali gus petak utama keenamnya di gelanggang sendiri, hari ini.

Penyandang juara dunia itu, yang ketinggalan satu mata di belakang Vettel dalam kedudukan kejuaraan menambah rekod petak utama F1 miliknya kepada 76 sambil memecahkan rekod sepusingan terpantas di Litar Silverstone.

Pelumba Mercedes dan Ferrari itu saling memadamkan rekod sepusingan terpantas sebelum Hamilton mencatatkan 1 minit 25.892 saat (s) pada pusingan terakhir untuk mengatasi Vettel dengan 0.044s.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen ketiga manakala rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas keempat dengan dua pelumba Red Bull, Max Verstappen dan Daniel Ricciardo di petak kelima serta keenam.

Ia adalah petak utama keenam berturut-turut buat pasukan Mercedes di Silverstone tetapi ia berlangsung penuh sengit sehingga Hamilton mengakui ia ditentukan oleh ribuan penyokongnya.

“Mereka ini adalah yang terbaik,” kata Hamilton sambil menunjukkan kawasan tempat duduk penonton. “Saya memberikan segala-gala yang saya mampu dan ia amat hampir di antara kedua-dua pelumba Ferrari ini.

“Mereka melakukan sesuatu pada kelayakan ketiga.”

Vettel dalam pada itu berkata dia mengharungi masalah di bahagian leher.

“Saya berdepan sedikit isu ketika sesi latihan tetapi ketika ini saya sudah pulih,” kata pelumba Jerman itu. “Ia amat hampir. Saya amat gembira dengan pusingan terakhir saya tetapi saya kehilangan banyak masa di laluan lurus.

“Saya gembira di sesi kelayakan kedua dan ia memberikan kami peluang esok.”

Kedudukan petak perlumbaan GP British

1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes, 1m 25.892s

2. Sebastian Vettel (GER) Ferrari, 1m 25.936s

3. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari, 1m 25.990s

4. Valtteri Bottas (FIN) Mercedes, 1m 26.217s

5. Max Verstappen (NED) Red Bull, 1m 26.602s

6. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull, 1m 27.099s

7. Kevin Magnussen (DEN) Haas, 1m 27.244s

8. Romain Grosjean (FRA) Haas, 1m 27.455s

9. Charles Leclerc (MON) Sauber, 1m 27.879s

10. Esteban Ocon (FRA) Force India, 1m 28.194s

*10 terbaik

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 11:59 PM