Penyerang Senegal, Sadio Mane. FOTO            Reuters
Penyerang Senegal, Sadio Mane. FOTO Reuters
AFP

BINTANG Senegal, Sadio Mane berkata, membantu Liverpool menang Liga Juara-Juara adalah istimewa, namun dia memasang ‘impian’ membawa pulang trofi Piala Negara Afrika untuk diraikan sekitar jalan-jalan di Dakar iaitu ibu negara kelahirannya itu.

Skuad dari barat Afrika yang mendapat gelaran Teranga Lions hanya dua langkah untuk memastikan impian pemain berusia 27 tahun yang memberi tuah kepada pasukan itu, misi Senegal bermula dengan aksi separuh akhir menentang Tunisia di Mesir tengah malam esok.

“Pulang ke Dakar dengan trofi pastinya sesuatu yang luar biasa,” kata Mane yang berkongsi anugerah Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu bersama rakan sepasukan Afrika, Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang.

“Memang menjadi impian saya untuk membantu Senegal memenangi Piala Afrika - ia pastinya bonus selepas memperolehi kejayaan bersama Liverpool dalam Liga Juara-Juara.

“Kami harus menerima dilabel sebagai antara pasukan pilihan dan ramai yang menjangkakan kami akan berdepan Algeria di final,” kata penjaring tiga gol buat kejohanan itu setakat ini.

“Semua empat pasukan separuh akhir mempunyai kualiti dan semua mempunyai peluang sama untuk mara seterusnya memenangi kejohanan ini. Juara pastinya pasukan yang paling mengkehendaki trofi itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:48 AM