FELIX pemain kelima termahal dunia.
FELIX pemain kelima termahal dunia.
AFP

ATLETICO Madrid menandatangani pemain berusia 19 tahun dari Benfica, Joao Felix dengan harga 126 juta euro (RM588 juta), menurut jurucakap kelab awal pagi ini.

Yuran perpindahan itu merupakan rekod baru buat kedua-dua kelab sekali gus Felix muncul pemain kelima termahal dalam sejarah.

Felix dilaporkan menandatangani kontrak tujuh tahun. Dia pemain berpotensi menggantikan Antoine Griezmann yang menjaringkan 133 gol sepanjang lima musim bersama kelab itu.

Penyerang Perancis itu dijangka menyertai Barcelona dengan harga 120 juta euro (RM560 juta) selepas klausa pembebasannya diaktifkan minggu depan.

Pembelian Felix dilakukan pada hari sangat sibuk buat Atletico.

Semalam, kelab mengesahkan pembelian pemain Mexico, Hector Herrera dari Porto manakala pemain tengah Atletico, Rodrigo Hernandez berpindah ke Manchester City dengan harga 70 juta euro (RM327 juta.

Atletico juga memperkuatkan bahagian tengah dengan menandatangani Marcos Llorente, 24, yand dibeli dengan harga 45 juta euro (RM210 juta) dari Real Madrid.

Felix, penyerang yang boleh beraksi di bahagian sayap atau tengah menikmati musim cemerlang di Benfica, menjaringkan 20 gol dalam 43 perlawanan dan membantu menjuarai liga Portugal sekali gus menarik minat beberapa kelab ternama Eropah seperti Manchester City, Manchester United dan Juventus.

Felix menjadi pemain Portugal paling mahal dalam sejarah, mengatasi harga 105 juta euro (RM490 juta) yang dibayar Juventus untuk mendapatkan Ronaldo.

Rekod Atletico sebelum ini ialah pembelian pemain tengah Perancis, Thomas Lemar yang dibeli dari Monaco tahun lalu dengan harga 72 juta euro (RM336 juta).

Rekod dunia perpindahan pemain ialah 222 juta euro (RM1.036 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain untuk mendapatkan Neymar dari Barcelona pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 10:00 AM