STADIUM Olimpik di Baku yang menjadi hos final Liga Europa antara Chelsea dan Arsenal pada 29 Mei ini. — FOTO EPA
STADIUM Olimpik di Baku yang menjadi hos final Liga Europa antara Chelsea dan Arsenal pada 29 Mei ini. — FOTO EPA
Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp menyokong kritikan peminat Chelsea dan Arsenal mengenai pemilihan Baku bagi final Liga Europa hujung bulan ini dan berkata, badan induk bola sepak Eropah, UEFA perlu menangani cara mereka memilih bandar raya tuan rumah.

Peminat dua kelab bermusuh London itu berdepan perjalanan lebih 8,000km untuk menghadiri pertembungan dua pasukan Liga Perdana Inggeris di ibu negara Azerbaijan pada 29 Mei ini.

Ketika penyokong Liverpool dan Tottenham Hotspur melahirkan kemarahan mengenai tambang penerbangan dan bilik hotel yang melambung bagi final Liga Juara-Juara di Madrid, Klopp berkata, penyokong Chelsea dan Arsenal lebih teruk lagi.

“Saya fikir dengan Madrid jelas ia terlalu mahal dan sukar dipercayai, tapi pergi ke Baku bagi final Liga Europa, ia benar-benar kelakar,” kata Klopp awal pagi tadi, soalan yang terpesong daripada potensi pasukannya memenangi kejuaraan domestik menentang Wolverhampton Wanderers di Anfield, Ahad ini.

PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri (kiri) akan bertembung dengan rakan sejawatnya Unai Emery di Baku. — FOTO EPA
PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri (kiri) akan bertembung dengan rakan sejawatnya Unai Emery di Baku. — FOTO EPA

“Saya fikir mereka yang membuat keputusan ini, saya tidak tahu apa yang mereka makan ketika bersarapan.

“Tahun lalu kami pergi ke Kiev (final Liga Juara-Juara) satu bandar raya yang cantik tapi kelihatannya pasukan dari Russia atau Ukraine tidak akan terbabit.”

Dengan ketiadaan penerbangan terus ke Baku dari London, penyokong berdepan perjalanan hingga 14 jam bergantung kepada penerbangan sambungan.

“Keputusan ini mesti lebih masuk akal,” kata Klopp. “Ia seperti tidak bertanggungjawab, saya tidak tahu bagaimana mereka melakukannya dan saya bersimpati terhadap penyokong.”

Berapa ramai penyokong boleh menghadiri perlawanan itu turut dipersoalkan dengan setiap kelab ditawarkan sekitar 6,000 tiket.

Kelab penyokong Chelsea’s Supporters’ Trust menganggap peruntukan itu “tidak mencukupi” manakala ahli lembaga pengarah kelab Tim Rolls memberitahu BBC perjalanannya turut membabitkan bas selama tujuh jam dari Tbilisi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:05 AM